Tanggal 16 Februari tahun lepas menjadi tarikh keramat menyaksikan lampu simbah terarah kepada Mohd. Faiz susulan jaringan yang disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ sewaktu membantu skuad Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Bermula saat itu, populariti Mohd. Faiz meledak secara mengejut. Malah, namanya sekali lagi menjadi bualan hangat setelah tercalon dalam Anugerah Puskas yang akan berlangsung di Zurich pukul 6 petang waktu Switzerland, esok (Selasa pukul 1 pagi waktu Malaysia).

Bagaimanapun, perjalanan pemain itu ke Zurich dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini mencuri perhatian lensa media apabila setiap langkah pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu sentiasa tersekat gara-gara peminat yang ingin merakamkan kenangan bersamanya.

Begitupun Mohd. Faiz, 30, berkata, dia tidak mahu tenggelam dengan populariti tersebut, sebaliknya ingin menjadikan situasi itu sebagai batu loncatan dalam kariernya.

“Mungkin ini adalah rezeki saya dan keluarga, saya akan cuba untuk menghadapi perkara ini secara perlahan-lahan dan menyesuaikan diri dengan keadaaan seperti ini.

“Saya nak beri keutamaan dan kekal fokus membantu Pulau Pinang dalam saingan Liga Super, musim ini,” katanya kepada pemberita di KLIA, hari ini sambil menyatakan hasrat untuk berswafoto bersama bintang dunia, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Antoine Griezmann jika berkesempatan.

Finalis Anugerah Puskas itu turut ditemani isteri, Norzawanis Hashim, 30, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 5, dan Muhammad Aqil Zayyan berusia sembilan bulan, selain Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah yang mengiringinya ke Zurich.

Mohd. Faiz, yang akan bersaing dengan dua lagi pencabar iaitu pemain Brazil, Jonath Marlone Azevedo da Silva dan wakil tunggal wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela, dijangka tiba semula di tanah air pada Rabu, 11 Januari ini pukul 3.15 petang.

Sementara itu, Norzawanis menganggap keadaan tersebut sebagai cabaran baharu buat dirinya dan perlu menyesuaikan diri dengan populariti suaminya yang semakin meningkat.
“Kehidupan kami memang agak berubah kerana ramai orang mula bagi perhatian, selain menerima banyak panggilan telefon. 

Saya nasihatkan dia supaya teruskan kerjaya macam biasa. Saya juga berdebar dan teruja menemani suami ke Zurich. Memang harap menang, tetapi kalau tak menang pun tak apa,” katanya.

Klip video jaringan ajaib Mohd Faiz itu, yang pertama kali dimuat naik FIFATV pada 21 Nov lalu melalui YouTube, setakat ini ditonton lebih 2.3 juta kali, manakala jaringan Marlone dan Rodriguez masing-masing ditonton hanya lebih sejuta kali.

SUMBER : UTUSAN