RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Ahad, 8 Januari 2017

Selain Anugerah PUSKAS, Selfie bersama Ronaldo menjadi sasaran utama - FAIZ SUBRI



SEPANG: Finalis anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri merancang untuk berselfie bersama idolanya, Cristiano Ronaldo jika berpeluang bertemu bintang Portugal itu. 

Pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu juga semakin teruja dan gementar apabila bakal berkongsi pentas dengan bintang antarabangsa seperti Lionel Messi dari Argentina dan Antoine Griezmann dari Perancis. 

"Ronaldo memang menjadi idola saya sejak dulu. Kalau jumpa beliau, saya pasti selfie dengan dia. 

"Keadaan mental saya tidak menentu, ketaq (ketar) pun ada, gembira dan teruja pun ada. Tekanan memang tinggi tetapi saya cuba tenangkan diri kerana berada dalam senarai tiga terakhir pun bagaikan satu kemenangan bagi saya. 

"Saya harapkan rakyat Malaysia terus mendoakan saya pergi dan balik dengan selamat," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini sebelum berlepas ke Zurich, Switzerland. 

Ronaldo dijangka menghadiri majlis Anugerah FIFA itu untuk menerima anugerah Ballon d'Or 2016, selain dicalonkan untuk anugerah pemain terbaik 2016. Mohd Faiz dijangka tiba di Zurich pada jam 7.55 malam Ahad waktu tempatan, bersamaan 2.55 pagi Isnin waktu Malaysia selepas transit di Dubai untuk majlis yang dijadualkan berlangsung jam 6 petang waktu tempatan. 

Ditanya mengenai pakaian yang bakal dikenakan untuk majlis itu, Mohd Faiz berkata beliau akan mengambil keputusan selepas melihat keadaan cuaca di Zurich, yang ketika ini mencecah -3 darjah Celsius. 

"Buat masa ini saya ada tiga pasang baju Melayu dan masih belum membuat keputusan untuk pakai yang mana satu kerana suhu di sana sangat sejuk. 

Jika tidak boleh memakai baju Melayu, saya akan sekurang-kurangnya ambil gambar dengan baju Melayu di Zurich," katanya. 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini berkata Faiz sudah mendapat kebenaran daripada FIFA untuk memakai baju Melayu pada anugerah berprestij itu. Beliau ditemani isteri Norzawanis Hashim, 29, dan dua anak, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan, lapan bulan. 

Turut mengiringi mereka ke Zurich ialah Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Mohd Azizudin Mohd Sharif. Mengulas mengenai perkara pertama yang dilakukan sekiranya berjaya meraih anugerah itu, Mohd Faiz berkata beliau akan pulang ke bilik hotel penginapan untuk mengucapkan terima kasih kepada isterinya. 

FIFA hanya memberikan jemputan kepada beliau dan wakil ahli gabungan, iaitu Afandi untuk menghadiri majlis itu. 

Jaringan ajaib Faiz yang melanggar hukuman fizik dilakukan ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 adalah antara tiga gol yang disenarai akhir untuk Anugerah Puskas 2016. 

Dua lagi calon bagi anugerah gol paling cantik sepanjang tahun lalu ialah Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela. Peminat bola sepak dunia boleh mengundi sehingga majlis anugerah itu bermula iaitu pada 6 petang Isnin waktu Zurich. - BERNAMA

- Berita Harian