AKSI Wayne Rooney (kiri) ketika meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Stoke City, Sabtu lalu. REUTERS
LONDON 23 Jan. – Kapten Manchester United, Wayne Rooney menerima tawaran ‘tidak masuk akal’ daripada kelab kaya Liga Super China yang menawarkan gaji 1 juta pound (RM5.53 juta) seminggu kepada penyerang England tersebut.
Menurut akhbar Britain, kelab berkenaan juga sanggup membayar 60 juta pound (RM332 juta) bagi membawa masuk pemain berusia 31 tahun itu.
“Ada kemungkinan Rooney dibenarkan meninggalkan United pada musim panas ini selepas menghabiskan 13 tahun bersama kelab dan membuat 550 penampilan.
“Walaupun dia memiliki setahun kontrak, namun sekarang adalah masanya untuk dia pergi kerana dia masih berada pada tahap tertinggi,” kata sumber dalaman United.
Pengurus United, Jose Mourinho secara terbuka berkata, dia tidak akan menghalang Rooney jika pemain tersebut mahu berhijrah ke China.
Pemain berusia 31 tahun itu sukar menempatkan diri dalam kesebelasan utama di bawah bimbingan Mourinho, sekali gus menguatkan spekulasi dia bersedia untuk meninggalkan United ketika kariernya masih di puncak.
Kata Mourinho, dia percaya, Rooney masih pemain penting buat Red Devils, namun ketua pasukan England itu berhak untuk memutuskan sendiri mengenai masa depannya.
“Saya fikir banyak lagi yang boleh dia sumbangkan kepada kami, tetapi apabila anda mencapai tahap tertentu dalam karier...maka semuanya terpulang kepada pemain.
“Ada sesiapa yang boleh mengkritik Zlatan (Ibrahimovic) kalau musim panas lalu dia memilih untuk pergi ke China atau Amerika Syarikat ? Siapa yang boleh kritik jika pemain itu sudah mencapai pelbagai kejayaan dalam kariernya. Jadi, saya fikir situasi Rooney sama,” kata Mourinho lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, bintang United berdepan risiko dipotong gaji andai gagal layak ke Liga Juara-Juara, musim hadapan.
Selepas mengharungi 22 perlawanan musim ini, skuad bimbingan Mourinho itu menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris dengan 41 mata, empat mata ditinggalkan pasukan tangga keempat, Liverpool - slot automatik ke kejohanan elit Eropah.
Ahad lalu, United bergelut ketika menentang Stoke City dan memerlukan jaringan lewat minit Rooney pada waktu kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1.
Bintang utama seperti Ibrahimovic dan Paul Pogba bakal berdepan pemotongan gaji 25 peratus sekiranya pasukan itu gagal berada dalam kelompok empat teratas.
Musim lalu, United turut mengambil tindakan serupa apabila memotong 25 peratus gaji pemain mereka ekoran kegagalan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara, namun pemotongan tersebut akan dimansuhkan andai mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik musim ini.
“Tindakan itu dibuat bagi mengelakkan mereka mencatatkan kerugian daripada segi pendapatan,” kata sumber dalaman kelab kepada akhbar The Sun. – AGENSI
Sumber : UTUSAN