Janji Jamal itu dibuat ketika beliau menghantar surat rasmi untuk menawar diri menjadi Presiden badan bola sepak itu bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jamal yang merupakan seorang ahli perniagaan dan pengerusi Gabungan NGO Malaysia menyuarakan hasratnya secara rasmi selepas menghantar surat kepada FAS di pejabat mereka di Kelana Jaya, hari ini.

Azmin yang merupakan Menteri Besar Selangor mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama FAS pada 10 Disember lalu setelah hampir dua tahun menjadi Presiden badan induk tersebut.

Tidak merasakan dirinya sebagai calon yang paling layak untuk menduduki kerusi No. 1 badan induk itu, namun Jamal berkeyakinan tinggi beliau mampu mengatasi segala masalah yang dihadapi FAS sekiranya terpilih malah bercita-cita untuk meletakkan Se­langor sebaris dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Hasrat dan tujuan saya menawarkan diri menjadi Presiden FAS adalah untuk membantu Sela­ngor ke arah lebih maju setanding dengan mana-mana pasukan di Malaysia, terutama JDT. Jika kita tidak mampu mengikut JDT tapi kita boleh ke arah itu.

“Saya tidak meletakkan sebarang syarat untuk menjadi Pre­siden FAS. Saya hanya menawarkan diri kerana saya yakin dengan usaha dan semangat serta pakej yang dibawa saya akan diterima. Saya tidak kata saya calon yang terbaik.

“Namun, apabila saya lihat Datuk Seri Azmin melepaskan jawatannya saya terpanggil untuk menawarkan diri menjadi Presiden FAS,” katanya.

Jamal telah me­nyerahkan surat tersebut kepada Exco FAS, Adnan Sharif.

Ketika ditanya mengenai kemampuannya untuk membawa dana yang banyak memandangkan Selangor ketika ini sedang bergelut dengan masalah kewangan dan sedang bertungkus lumus men­cari penaja bagi menampung kos perbelanjaan, beliau optimis mampu melakukannya.

“Saya memberi jaminan dalam masa 14 hari setelah perbincangan diadakan dan dilantik, kita akan selesaikan semua permasalahan ini manakala soal dana saya letak nombor dua.

“Bagi saya, dana adalah nombor dua kerana pengurusan yang baik, amanah dan telus lebih penting. Masalah duit kalau letak di depan berapa banyak duit sekalipun jika pengurusan tidak bagus ianya tidak akan mendatangkan hasil yang baik.

“Apa yang penting adalah semangat untuk mengatasi masalah yang berlaku dan menyusun strategi pada waktu akan datang bukannya bila ada masalah kita melarikan diri. Jadi ini yang saya cuba tekankan jika diberi kepercayaan,” katanya.

SUMBER : UTUSAN