RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Jumaat, 6 Januari 2017
Barcelona dimalukan dengan 9 Pemain
MADRID: Athletic Bilbao bertahan dengan sembilan pemain sebelum mengesahkan kemenangan pertama ke atas Barcelona dalam tempoh empat tahun sekali gus membawa kelebihan agregat 2-1 pada perlawanan kedua peringkat 16 terakhir Piala Raja Sepanyol, 11 Januari ini.
Dua gol dalam tempoh tiga minit berselang sumbangan Aritz Aduriz dan Inaki Williams pada pertemuan sebentar tadi meletakkan tuan rumah selesa mendahului gergasi Sepanyol itu pada babak pertama.
Sepakan percuma menarik Lionel Messi berjaya merapatkan jurang kedudukan selepas rehat, namun tiada jaringan tambahan dijaringkan pelawat sekali pun Bilbao terpaksa beraksi kurang pemain. Pemain Terbaik Dunia lima kali itu hampir menyelamatkan juara Sepanyol itu daripada kekalahan, namun cubaannya tersasar beberapa inci apabila menggegar palang selepas dua pemain Bilbao, Raul Garcia dan Ander Iturraspe dibuang padang.
Bos Barca, Luis Enrique menyenaraikan ketiga-tiga penyerang utamanya, Messi, Luis Suarez dan Neymar sekali pun memberikan mereka cuti rehat tambahan yang menyaksikan mereka hanya kembali ke kem latihan pada Isnin lalu.
Ini adalah kali keenam Barca dan Bilbao diundi bersama dalam kejohanan piala itu dalam tempoh sembilan musim termasuk tiga di pentas final.
Barcelona muncul pemenang dalam kelima-lima pertemuan terbabit namun, Bilbao tampak tidak mahu mengalah dengan dua gol cantik pertama menerusi Aduriz yang cemerlang menanduk masuk hantaran Garcia pada minit ke-25.
Ketika pasukan itu masih lagi dikejutkan dengan berita mengenai pertahanannya, Yeray Alvarez yang didiagnos menghadapi kanser, tuan rumah meledak gol kedua apabila Williams merembat voley hasil daripada hantaran Aduriz. Selain dua kad merah kepada Bilbao, perlawanan itu turut dipalit kontroversi apabila Aduriz terselamat daripada dihukum kerana menyiku Samuel Umtiti. - AFP
- BERITA HARIAN