KOTA BHARU 21 Dis. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi perhatian kepada kemelut kewangan yang sedang dihadapi oleh mereka ketika ini.

Rosmadi Ismail
Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata tindakan Perdana Menteri itu memberikan nafas baharu kepada pasukan Kelantan untuk memperhebatkan usaha mendapatkan dana agar skuad The Red Warriors dapat terus kekal bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri itu menunjukkan keperihatinannya terhadap masalah yang dihadapi oleh Kafa serta persatuan bola sepak negeri lain.
“Apa yang diluahkan Perdana Menteri memberikan semangat kepada Kafa untuk kami terus kekal bersaing dalam Liga M dan kami amat berharap Tan Sri Annuar Musa dapat kembali menerajui Kafa dan bersama-sama mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan.
“Keperihatinan itu membuktikan Perdana Menteri cukup cakna dengan hasrat rakyat Kelantan yang mahu pasukan The Red Warriors bermain dalam liga utama negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Najib di Facebook yang meminta bekas Presiden Kafa, Annuar supaya membantu persatuan itu walaupun telah meletakan jawatan pada 8 November lalu.
Kafa sebelum ini menegaskan mereka berkemungkinan menarik diri daripada Liga M gara-gara masalah kewangan yang dihadapi oleh badan induk tersebut.
Bagaimanapun keputusan mengenai hala tuju Kelantan akan diputuskan pada 29 Disember ini dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa.
Persatuan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk membolehkan The Red Warriors kekal bersaing secara kompetitif namun persatuan masih bergelut mencari sumber kewangan selepas Annuar melepaskan jawatan.