Sejak Kafa mengalami masalah kewangan, beberapa syarikat tampil dan mendakwa mereka bersedia membantu persatuan itu demi memastikan skuad The Red Warriors dapat bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan, termasuk yang memaklumkan kepada media bahawa mereka ingin menjadi penaja utama.

Bagaimanapun, hingga kini belum ada sebarang kontrak ditandatangani oleh Kafa de­ngan mana-mana syarikat yang menyatakan kesediaan untuk menjadi penaja mereka.

Setiausaha Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, pihaknya kesal apabila ada syarikat tertentu bertemu media dan mendakwa mereka mahu menjadi penaja utama tanpa berunding terlebih dahulu dengan pihaknya.

Katanya, syarikat tersebut tidak pernah menghubungi pihak Kafa untuk berunding.

“Dalam suasana begini, ba­nyak pihak cuba mempromosi diri masing-masing untuk promosi murahan seolah-olah mereka balang oksigen penyelamat Kafa tanpa melihat kesan terhadap pihak lain.

“Kesan kemunculan mereka (menerusi media), sudah ada penaja-penaja lain yang sebelum ini ikhlas (membantu Kafa) mula menjauhkan diri,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata jika pihak tersebut benar-benar ikhlas, mereka perlu berjumpa terus dengan Kafa dan selepas memuktamadkan rundingan, barulah kedua-dua belah pihak mengisytiharkan perkara tersebut kepada media.

“Ada pihak yang mendakwa sebagai penaja utama. Harus diingat, tahun lepas syarikat Chengal Jati menaja RM3 juta pun belum berstatus penaja utama,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, harapan penyokong Kelantan untuk melihat pasukan mereka bersaing dalam Liga M 2017 mungkin cerah apabila dua syarikat bersetuju menjalinkan hubu­ngan strategik dengan Kafa termasuk menjadi penaja utama.

Kafa berdepan krisis kewangan serius sejak akhir-akhir ini sehingga mendorong Tan Sri Annuar Musa meletak jawatan sebagai Presiden persatuan itu.

Kafa memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk memastikan The Red Warriors mampu bersaing secara kompetitif dalam Liga M musim depan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Ismail mendedahkan dana terkumpul daripada sumbangan penaja kepada Kafa setakat ini masih sekitar RM800,000.