Belum pernah lagi seorang jurulatih yang menghadirkan kejayaan manis seperti Mehmet Durakovic menerusi Misi 33 Piala Malaysia buat Selangor ditunjuk jalan keluar oleh sesebuah pasukan.
Tolak ketepi emosi dan kaji kembali sejarah,Carlo Ancelotti dan Roberto Di Matteo berdepan nasib sama meskipun menghadirkan La Decima buat Real Madrid dan Matteo yang melengkapkan pelaburan Chelsea hasil mahkota liga Juara-Juara Eropah 2012, sesuatu yang gagal dilakukan pengurus legenda mereka Jose Mourinho.Jadi apa sebab mereka disingkirkan,politik pengurusan? mungkin,kuasa pemain? tidak terkecuali,atau tuntutan untuk menawarkan sesuatu di luar dugaan, sinonim dengan pasukan berstatus gergasi.
Usah pertikaikan status Real atau Chelsea dengan Selangor kerana di Malaysia, The Red Giants adalah gergasi sebenar bola sepak negara sebelum kebangkitan pasukan dari utara,pantai timur dan kini di selatan tanah air.
Durakovic wajar diberikan pujian atas sumbangan dia sebagai pemain dan jurulatih buat Selangor apabila membentuk sebuah pasukan yang akhirnya menjulang kejayaan sebagai satu keluarga.
Tapi jangan hipokrit dalam meratapi cara Durakovic pergi daripada Selangor ketika pengurusan juga harus dipersalahkan kerana gagal menangani situasi ini dengan profesional.
Imbas kembali sebelum Selangor memenangi Piala Malaysia 2015,pandang jauh sebelum saingan Liga Super menutup tirai ketika Gergasi Merah ini dilabel pasukan yang membosankan.
Taktikal dan falsafah Durakovic diselar segelintir yang menuntut agar dia disingkirkan, segelintir yang sama selepas kempen Piala Malaysia menuntut keadilan buat legenda ini.
Kesetiaan peminat adalah yang terutama buat pasukan dan bukan pengurus, sukar untuk membenci lambang di dada tetapi mudah untuk menunding jari kepada individu yang mengemudinya.
Kalau Durakovic gagal dalam misi 33 tidak akan jadi isu dengan penyokong terhadap kehendak pengurusan Selangor untuk mencari individu yang mampu menghadirkan perbezaan buat Selangor.
Pasukan ikonik seperti Selangor bukan sahaja menuntut kejayaan dan kemenangan tetapi aksi mengujakan yang mampu buat anda bangkit untuk detik yang istimewa.
Dalam noktah yang lebih bersifat peribadi,saya bukan sahaja marah tetapi malu dengan cara Durakovic ditunjuk jalan keluar,ibarat tidak kenang jasa ketika Selangor makin hilang pengaruh.
Pada masa sama saya mahukan yang terbaik daripada Zainal Abidin Hassan yang tahu tidak ada indeks petunjuk prestasi KPI bersama Selangor kerana misi Selangor setiap perlawanan dan setiap musim adalah untuk menang bergaya dan jadi juara.
#thankyoumehmet #goodluckzainal