Rabu, 19 Julai 2017

'Tiada Siapa Jangka Dengan Keputusan Ini, Semua Orang Terkejut' - P. Maniam

Tiada siapa jangka Selangor mampu raih kemenangan

Itu reaksi spontan jurulatih Selangor, P. Maniam, sebaik membuka acara sidang media di Stadium Selayang, yang menyaksikan Selangor menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-2 dalam saingan Piala Malaysia, semalam.

Kemenangan dramatik Selangor di Stadium Selayang itu adalah kemenangan yang cukup manis selepas melabelkan JDT memiliki kelebihan ketara jika dinilai di atas kertas.

Petugas media yang hadir, terdiam buat seketika sebaik Maniam masuk ke bilik sidang media, namun reaksi spontan jurulatih itu berjaya menimbulkan suasana ceria, seolah-olah turut meraikan kejayaan Red Giants.

"Saya berpendapat tiada siapa yang menjangkakan keputusan ini. Semua orang agak terkejut selepas kami berjaya mendahului perlawanan 2-0 sebelum meraih kemenangan 3-2," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Ulisses Morais, cukup positif walaupun hakikat anak buahnya gagal mencipta kemenangan untuk merebut kedudukan teratas Kumpulan D.

Pujian turut diberikan kepada anak buahnya yang bangkit selepas ketinggalan 2-0, namun beberapa kesilapan kecil yang membawa kepada peluang sepakan penalti buat pasukan tuan rumah perlu dinilai semula untuk memastikan kualiti permainan yang lebih baik dipamerkan oleh JDT.

"Terdapat kesalahan  pada separuh masa pertama yang memberikan Selangor dua jaringan. Kami memiliki banyak peluang dalam separuh masa kedua dan sepakan penalti di penghujung perlawanan menghukum kami," kata Morais.


Sumber Penuh : STADIUM ASTRO