KOTA BHARU - Sehingga jam 3 petang ini, 12 jalan utama di Machang ditutup kepada laluan orang ramai berikutan paras air semakin meningkat di beberapa kawasan sehingga melepasi kawasan jalan-jalan utama di jajahan itu.

Kilometer 7.0, Jalan Machang-Pangkal Meleret di Padang Kelupang ditutup sejak dua hari lalu disebabkan kesan air bertahan yang masih belum pulih sepenuhnya. Laluan alternatif untuk jalan tersebut adalah melalui Jalan Kelaweh.

Jalan Pangkal Meleret – Limau Hantu di kilometer 1.2 hingga 6.0 di Kampung Buncit juga ditutup kepada laluan orang ramai bermula pagi semalam. Laluan tersebut melibatkan empat lokasi berlainan namun melalui satu jalan yang sama. Laluan alternatif untuk jalan ini adalah Jalan Pangkal Meleret.

Jalan Pangkal Chuit, kilometer 0.9 di Temangan ditutup hari ini selepas peningkatan air di kawasan terlibat. Tiada jalan alternatif boleh digunakan namun papan tanda amaran sudah pun diletakkan di kawasan tersebut.

Kampung Paloh Rawa-Temangan di kilometer 2.3 Belukar Panjang juga turut ditutup kepada laluan orang ramai hari ini juga disebabkan peningkatan air di kawasan berhampiran. Pengguna boleh menggunakan jalan alternatif menerusi Jalan Kelaweh.

Jalan Kampung Pek-Paloh Rawa di kilometer 9.0 juga ditutup untuk laluan pengguna disebabkan oleh air bertahan di kawasan tersebut dan jalan alternatif untuk laluan ini ialah melalui Pangkal Chuit.

Manakala Jalan Lama Machang di Kemuning bagaimanapun ditutup hanya kepada kenderaan ringan dan pengguna boleh menggunakan jalan Machang By Pass untuk laluan alternatif. Sementara Jalan Sungai Mati di Pengkalan Perahu juga turut ditutup untuk laluan kenderaan ringan.

Kilometer 8.0 hingga 10.0 di Jalan Labok juga ditutup akibat paras air yang meningkat dan arus deras yang berterusan dan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif melalui Jalan Dewan Kecil.

Hanya sebelah laluan sahaja dibuka untuk kegunaan orang ramai di kilometer 0.8 Padang Manir, Labok-Banggol Juddah, di sini. Selain itu, jalan Jambatan Kemubu di kilometer 10, Pangkal Gong dan kilometer 1.0 juga ditutup untuk laluan orang ramai. Bagaimanapun tiada jalan alternatif untuk laluan tersebut.