IMPORT baharu Kelantan, Seydi L Imam masih boleh didaftarkan dan bermain bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berjaya memansuhkan sekatan perpindahan yang telah dikenakan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, Seydi tiada masalah untuk didaftarkan musim ini kerana dibawa masuk dalam tempoh perpindahan yang telah ditetapkan.
“Tetapi yang menjadi masalah ialah Kafa masih dikenakan sekatan perpindahan. Jadi, jika mereka boleh selesaikan sekatan tersebut, Seydi tiada masalah untuk didaftarkan.
“Ini bukan soal nak menghalang Kelantan dapatkan import baharu atau sebagainya, tetapi ini kerana peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Kelmarin, FMLLP dalam satu kenyataan memutuskan Seydi tidak dapat didaftarkan kerana Kafa masih belum memenuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran pemain.
Mengulas lanjut, kata Kevin, apa yang perlu dilakukan oleh Kafa ketika ini adalah menyelesaikan sebarang perkara tertunggak yang telah dibincangkan pada pertemuan kedua-dua pihak pada 5 Jun lalu.
Katanya, Kafa telah jelas dengan apa yang telah diminta oleh FMLLP dan terpulang kepada badan induk bola sepak negeri itu untuk memenuhi tuntutan pendaftaran pemain.
asa
“Tempohnya tetap sama iaitu mereka perlu selesaikan sebelum 31 Oktober. Jika tidak hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap mereka.
“FMLLP berharap agar Kafa sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
sumber : SINAR HARIAN