Vidal yang juga pemain Bayern Munich menegaskan, pasukannya pasti akan mengalahkan juara Eropah tersebut, malah sudah memberitahu rakan-rakan sepasukannya di Bayern bahawa mereka akan bertemu Jerman dalam final.

“Cristiano Ro­naldo seorang yang teruk dan pada saya dia umpama tidak wujud.
“Saya sudah pun beritahu rakan-rakan saya di Bayern Munich (sebahagian besarnya pemain Jerman) kami akan bertemu dalam perlawanan ­akhir.
“Saya juga beritahu Joshua Kimmich (pemain tengah Bayern) kami akan bertemu lagi,” kata Vidal kepada pemberita di Rusia.

Juara dunia, Jerman akan menentang juara CONCACAF, Mexico dalam separuh akhir pada Khamis ini selepas mengungguli Kumpulan B.
Skuad bimbingan Joachim Loew itu sebelum ini seri 1-1 dengan Chile dalam pertemuan di peringkat kumpulan.

Portugal bakal berdepan Chile di Kazan esok ketika ketua pasukan dan bintang penyerangnya, Ronaldo berada dalam prestasi terbaik.
Biarpun berdepan spekulasi mungkin mening­galkan Real Madrid untuk kembali ke pangkuan Manchester United, namun pemain berusia 32 tahun itu langsung tidak terjejas dengan masalah di sekeliling, sebaliknya mempamer ­prestasi sepanjang di Rusia.
Dia mengetuai negaranya dengan meledak dua gol dan membantu gerakan untuk satu lagi jaringan.
Statisik itu bagaimanapun tidak langsung menggerunkan Vidal yang menegaskan, dia tidak pernah menghormati ‘sikap’ kapten Portugal tersebut yang dianggap suka bermuka-muka. 

“Dia (Ronaldo) sangat pandai melepaskan diri (selepas melakukan kesalahan),” kata Vidal lagi.

Vidal, 30, bagaimanapun mungkin masih berang dengan Ronaldo, pemain yang telah meledak hatrik ketika membantu Real membenam pasukannya, Bayern 4-2 pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara, 18 April lalu.
Real menyingkirkan juara Jerman itu secara agregat 6-3 dalam laluan muncul juara kali ke-12. - AGENSI