Annuar kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dirawat setelah mengadu sakit dada kelmarin. Beliau dijangka dibenarkan pulang dua hari lagi.
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah yang ditanya mengenai isu itu memberi jaminan tunggakan gaji kepada pemain-pemain Kelantan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Katanya, beliau difahamkan cek bernilai RM2 juta daripada Konsortium Al-Hamra, yang Annuar adalah pengerusinya, sudah diproses dan menunggu kelulusan pihak bank.
“Jika tiada halangan, masalah ini akan dapat di­selesaikan dalam tempoh terdekat. Ha­rap pemain bersabar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas me­­­­­ngenai isu tunggakan gaji yang kembali menghantui TRW sehingga menyebabkan beberapa pemain bintangnya bersedia untuk angkat kaki pada pertengahan musim ini.
Difahamkan, tunggakan gaji itu melibatkan bulan Febuari dan Mac.
Ini bukan kali pertama Kafa berdepan masalah membayar gaji dan isu itu pernah berlaku pada hujung musim 2016 lalu.
Afandi memberitahu, Kafa akan terus berkerja keras mendapatkan dana dan memastikan masalah ini tidak berulang.
Katanya, persatuan itu sentiasa komited dalam membela dan menjaga nasib barisan pemain TRW.
“Kafa tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan kami akan terus berusaha melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik demi masa depan bola sepak Kelantan,” ujarnya.