KUALA LUMPUR - TUNKU Ismail Sultan Ibrahim percaya, semua program bola sepak akar umbi, termasuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sepatutnya diuruskan oleh ahli gabungan dan bukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Tambah Tunku Ismail, adalah menjadi tanggungjawab badan induk bola sepak negara itu untuk mengurus dan menyeliakan apa jua program membabitkan bola sepak di negara ini tanpa campur tangan organisasi lain.
“Kalau betul FAM badan yang bertanggungjawab kepada seluruh bola sepak di negara ini, saya tak faham mengapa kita perlu ada organisasi lain untuk bangunkan program akar umbi,” katanya ketika sesi bertemu penyokong bola sepak kebangsaan, semalam
Tegasnya lagi, KBS seharusnya menghormati FAM dengan menyalurkan bajet pembangunan sekiranya berminat untuk sama-sama membantu memartabat dan mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara.
Disebabkan sistem yang berasingan ini ia telah membuatkan kebanyakan ahli gabungan FAM ‘tidur’ dan tidak meletakkan program pembangunan sebagai agenda utama.
“Menteri Belia dan Sukan memberi satu kenyataan yang beliau nak berkerjasama dengan saya. Namun saya berpandangan bajet NFDP itu seharusnya diberikan kepada FAM.
“Selagi kita ada program NFDP dan yang lain-lain, itu bermakna sampai bila-bila kita punya ahli gabungan dan pasukan yang sentiasa tidur.
“Pasal kerja-kerja tersebut (pembangunan) dah diuruskan orang-orang dan organisasi lain. Kita kena pastikan yang kita sendiri kena jalankan kerja itu,” kata Presiden baharu FAM itu.
Semalam, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) disahkan sebagai Presiden baharu bagi penggal 2017-2021 selepas menang tanpa bertanding apabila pencabarnya Tan Sri Annuar Musa menarik diri dua hari sebelum Kongres ke-53 berlangsung.
Malah, kejayaan itu juga menjadikan Tunku Ismail, 33, sebagai presiden termuda dalam sejarah FAM sejak ia ditubuhkan pada tahun 1933.
Sebaik sahaja menerajui FAM, TMJ mengumumkan beberapa perubahan drastik termasuk melantik bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez sebagai jurulatih Harimau Malaysia.
Datuk Ong Kim Swee pula kembali ke jawatan lamanya membimbing skuad bawah 22 tahun bagi menggantikan jurulatih dari Jerman, Frank Bernhardt yang mula melatih pasukan muda negara pada Disember, 2015.
Sementara itu, dalam sesi dialog bersama penyokong, TMJ turut menegaskan aksi persahabatan antarabangsa skuad senior negara hanya akan melibatkan pasukan-pasukan kuat yang memiliki ranking lebih baik daripada Malaysia.
Sumber : UTUSAN
© Utusan Melayu (M) Bhd