Bekas Ketua Pemasaran FAM Ini Tulis Surat Kepada Bakal Presiden Baru FAM. Ini Kandungannya
Kepada Tuan Presiden,
Pertama sekali, tahniah atas kemenangan Tuan.
Saya seperti rakyat Malaysia yang lain, mempunyai harapan besar supaya Tuan akan membawa perubahan yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang dihormati. Saya akan memberikan sokongan penuh kepada Tuan demi harapan ini.
Saya pasti Tuan pasti sudah mempunyai perancangan bagaimana untuk merombak FAM dan segala ekosistem bola sepak kita. Saya juga pasti Tuan sudah dimaklumkan oleh beberapa sumber tentang apa yang Tuan perlu lakukan
Bagaimanapun, sebagai bekas pekerja dan Ketua Jabatan di FAM, saya mahu memberikan sedikit pandangan tentang beberapa isu besar yang Tuan perlu perbetulkan setelah menjadi Presiden nanti.
Padangan saya adalah berdasarkan pengalaman saya bekerja sebagai ahli penting sekretariat FAM, duduk di perjumpaan exco, perbualan dengan ahli exco dan ahli gabungan dan gosip-gosip dalam Wisma FAM.
Sila maklum bahawa niat pendedahan saya ini adalah HANYA untuk kebaikan bola sepak Malaysia. Bukannya untuk kepentingan sendiri.
1. Korupsi
Tiada cara lain untuk saya beritahu perkara ini. Tetapi korupsi memang sangat berleluasa di FAM. Untuk memperbetulkannya, saya mencadangkan agar Tuan melakukan audit kewangan bebas terhadap perbelanjaan FAM sepanjang 3 tahun lepas.
Tuan akan mendapati (dengan mudah) bahawa terdapat banyak penyalahgunaan kuasa dalam aspek pengagihan kontrak, pembayaran melebihi harga servis, juga perbelanjaan tak perlu dan berlebihan. Budaya korupsi sudah sangat berleluasa di FAM sehinggakan usaha untuk menyorok aktiviti ini dilakukan dengan cara ‘semi-pro’.
FAM sentiasa berselindung di belakang amaran penggantungan keahlian FIFA jika ada campur tangan kerajaan (kemasukan siasatan SPRM). Apa yang rakyat tak tahu adalah FIFA akan mengalu-alukan siasatan SPRM jika ahlinya disyaki rasuah. FIFA juga takkan menggantung ahlinya kerana ini adalah usaha ke arah pentadbiran yang bagus.
Jadi saya merayu kepada Tuan. Sila mulakan audit. Jika Tuan nampak bibit-bibit korupsi, sila panggil SPRM. FIFA takkan menggantung kita. Langkah ini akan menghantar mesej kepada semua bahawa masa depan bola sepak Malaysia akan bebas korupsi.
2. Football Malaysia LLP
Pada pandangan saya, penswastaan liga kita dilakukan dengan cara tergesa-gesa dengan niat yang salah. Bagaimanapun nasi dah menjadi bubur. Kita tak boleh berpatah balik kerana ia langkah tak produktif.
Terlalu banyak perkara tak jelas dalam definisi dan model penswastaan yang sesuai untuk liga kita. Apa yang Tuan perlu lakukan adalah:
- Kajian menyeluruh terhadap struktur dan sempadan undang-undang liga
- Merujuk kepada negara lain untuk melihat hubungan liga dengan pasukan kebangsaan dan pemegang taruh dalam ekosistem bola sepak
FAM sudah mempunyai MOU dengan J-League. Saya mencadangkan agar kita menggunakan mereka sebagai konsultan untuk membantu kita menentukan model liga yang betul.
Saya juga mencadangkan agar Tuan melantik CEO FMLLP yang berpengalaman mengurus liga bola sepak besar sebelum ini supaya beliau tidak lagi perlu belajar ketika memegang jawatan tersebut. Calon CEO ini perlulah terbukti seorang yang profesional, mempunyai latar belakang komersial dan pengalaman dalam dunia korporat.
3. Kejurulatihan
Memandangkan Tuan memang orang bola sepak, Tuan pasti tahu Malaysia tak pernah kekeringan bakat. Ramai jurulatih luar yang datang ke Malaysia akan bersetuju dengan kenyataan ini.
Tetapi komponen yang hilang adalah jurulatih berkualiti yang membentuk bakat-bakat muda ini menjadi kumpulan pemain profesional yang berkualiti. Perkara ini mungkin ada kaitannya dengan fakta bahawa di Malaysia, lebih mudah mendapatkan lesen juruterbang berbanding lesen kejurulatihan.
Kita perlukan lebih banyak jurulatih berkualiti di semua peringkat terutamanya – akar umbi, bawah-21 dan amatur. Matlamat ini hanya akan tercapai dengan memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi jurulatih. Mereka tak perlu menjadi bekas pemain atau mempunyai pak cik yang bekerja di FA negeri untuk mendapat slot kursus kejurulatihan.
Lebih banyak jurulatih berkualiti akan melahirkan lebih banyak pemain dan pasukan berkualiti.
Sekali lagi saya mencadangkan agar kita mendapatkan kepakaran Jepun untuk membangunkan pelan kejurulatihan kebangsaan. Ini kerana cara kejurulatihan mereka berteraskan disiplin dan lebih sesuai dengan budaya kita.
4. Sekretariat FAM
Mentaliti sekretariat FAM sama seperti bangunan Wisma FAM – old school.
Kepimpinannya condong ke arah politik berbanding cara profesional. Banyak individu dalam sekretariat FAM yang perlu dilatih semula supaya mampu menjalankan tugas seperti yang tertera dalam jawatan mereka. Sudah sampai masanya bagi sekretariat ini untuk ditadbir secara profesional tanpa pengaruh politik.
Saya mencadangkan agar Tuan melakukan reviu Sumber Manusia (Human Resources) dan mendpaatkan pertolongan FIFA dan AFC untuk menentukan individu mana yang perlu kekal dan digantikan.
Proses ini sebenarnya sudah berjalan di bawah program persembahan kerja FIFA – satu inisiatif oleh bekas presiden FAM. Tetapi masalahnya, program tersebut hanya dijalankan separuh jalan sebelum dikuburkan cepat-cepat untuk mengekalkan status quo.
5. Skuad kebangsaan
Tentang prestasi skuad kebangsaan pula, saya menyedari tiada penyelesaian jangka masa pendek. Persembahan skuad kebangsaan adalah cerminan kualiti liga domestik kita. Pemain Malaysia pula berat hati untuk bermain di liga luar negara. Kita perlu menangani isu ini dengan kesabaran.
Saya mencadangkan supaya kita mengadakan satu setup untuk pasukan kebangsaan. Ini bermakna, satu jurulatih untuk mengendalikan pasukan senior dan bawah-22; seperti Vietnam. Dengan cara ini, kita akan mempunyai konsistensi dalam cara dan falsafah permainan skuad kebangsaan.
Tiada lagi pertelingkahan dan ‘perang dingin’ antara jurulatih skuad senior dengan skuad bawah-22 seperti yang selalu berlaku sebelum ini.
Ketua jurulatih perlulah dipilih dari luar negara sambil dibantu oleh jurulatih tempatan supaya berlaku perpindahan teknologi. Kita perlu mengaku teknik dan metodologi kejurulatihan tempatan kita jauh ketinggalan berbanding negara bola sepak maju yang lain.
Sesiapapun jurulatih ini, etika kerjanya mestilah berteraskan disiplin dan kerja keras kerana dua sifat inilah yang jarang-jarang ada di kalangan pemain tempatan kita.
Rumusan
Jadi kepada Tuan Presiden, inilah pandangan saya tentang isu melarat dalam bola sepak Malaysia. Jika Tuan mendapati pendapat saya ada benarnya, saya harap saya sudah menyumbang kepada Tuan walau sekecil mana pun. Jika Tuan sudah tahu tentang perkara-perkara ini, saya gembira kerana Tuan dah tahu dan yakin Tuan akan memajukan bola sepak Malaysia.
Mewakili seluruh rakyat Malaysia, kami optimistik dengan masa depan dan akan menyokong Tuan selagi Tuan berjuang untuk memajukan bola sepak Malaysia. Selamat berjaya, Tuan.
Terima kasih.
Nota editor: Sayf Ismail merupakan penyokong tegar bola sepak Malaysia dan bekas Ketua Jabatan Pemasaran & Tanggungjawab Sosial FAM antara 2014-2016.
Sumber Sepenuhnya : Semuanya Bola