BEKAS pengendali Harimau Malaysia, B Sathianathan menyokong sekiranya agenda pemain naturalisasi diberikan perhatian bakal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Katanya, naturalisasi penting dalam usaha memastikan skuad kebangsaan dapat bersaing dalam tempoh terdekat.
"Saya setuju jika naturalisasi ini dilakukan di Malaysia. Mungkin bukan untuk tempoh masa yang panjang. Sekurang-kurangnya dalam tempoh 8 hingga 10 tahun sahaja.
"Selepas kita mempunyai pemain dari akar umbi yang sudah cukup bagus, kita boleh lupakan mengenai naturalisasi ini.
Apa yang penting, kita perlu pastikan skuad negara tidak dimalukan dan mampu bersaing dengan pasukan lain untuk masa terdekat," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan pengambilan pemain naturalisasi perlu diberi tumpuan oleh bakal presiden FAM bagi memastikan skuad negara dapat menampilkan perubahan dalam jangka masa terdekat selain memuaskan hati peminat bola sepak di negara ini.
Mengulas lanjut, kata Sathianathan, negara tidak perlu malu untuk mengambil pemain naturalisasi kerana cara ini turut digunakan juara dunia seperti Sepanyol dan Itali selain beberapa negara Asean seperti Filipina, Singapura dan Indonesia.
"Tumpuan perlu diberikan kepada bahagian yang lemah dan saya kira empat hingga lima pemain naturalisasi sudah cukup. Selebihnya adalah pemain tempatan.
"Saya fikir, perkara ini perlu diberikan keutamaan kerana skuad negara ketika ini tidak mempunyai pemain yang betul-betul boleh mengalas tanggungjawab bermain di peringkat antarabangsa," katanya.
Namun, pandangan berbeza disuarakan pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang melihat naturalisasi bukan jalan utama untuk merubah prestasi skuad Harimau Malaysia.
Malah, Kay Kim melihat ia jalan mudah dan tidak membawa kebaikan untuk jangka panjang.
"Jika aspek pembangunan akar umbi ditekankan sejak 90-an lagi, penyokong sudah pasti dapat melihat skuad Harimau Malaysia yang berdaya saing bukan sahaja di peringkat Asia malah mungkin dunia.
"Saya fikir, tumpukan saja kepada mencari pemain di peringkat akar umbi dan selepas ini baru kita tuai hasilnya," katanya.
Sumber : SINAR HARIAN