PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba mengakui sudah tidak sabar untuk menambah derita Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Ahad.

United turun dengan motivasi tinggi hasil kemenangan 2-0 ke atas Hull City dalam aksi Separuh Akhir Piala Liga pertengahan minggu ini manakala Liverpool ditimpa kekalahan 0-1 kepada Southampton dalam kejohanan sama.

Pogba sedar betapa pentingnya pertemuan mereka nanti dengan menganggapnya lebih getir daripada pertemuan dengan Manchester City.

“Sejarah pertemuan (kedua-dua pasukan) sudah diketahui ramai. Ia perlawanan derby terbesar, lebih besar dibandingkan dengan Manchester City.

"Suasananya sangat istimewa. Kami mahu memungut tiga mata ke atas mana-mana pasukan, tapi ia menjadi lebih istimewa apabila tiba perlawanan dengan Liverpool," katanya,

Skuad yang dipimpin Jose Mourinho itu kini mengharungi 15 perlawanan tanpa kalah untuk menduduki tangga keenam dan lima mata dipisahkan dengan pasukan di tangga kedua, Liverpool.

sumber : sinar harian