KUALA LUMPUR 31 Dis. - Persatuan Pemain Profesional Bola sepak Malaysia (PFAM) melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mempersoalkan tindakan PFAM memperjuangkan hak para pemain dengan menyatakan hal persatuan bukan urusan mereka.
Kekecewaan itu diungkapkan selepas Annuar menerusi laman sosial Facebook pada Khamis lalu, mempersoalkan tentang peranan dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail bagi meningkatkan profesionalisme pemain, selepas Izham mendedahkan masih ada 23 kes tunggakan gaji pemain belum diselesaikan membabitkan lapan pasukan.
Presiden PFAM, Hairuddin Omar dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, secara profesional, PFAM tidak pernah mencampuri urusan mana-mana pihak kerana rasa hormat mereka terhadap pengurusan setiap pasukan negeri mahupun kelab.
"PFAM hanya akan terlibat apabila ada menerima laporan daripada para pemain iaitu ahli PFAM yang meminta bantuan kami menyelesaikan permasalahan mereka. Segala usaha telah kami lakukan, namun masih menemui jalan buntu dan persatuan (bola sepak) seolah-olah tidak serius dalam usaha menyelesaikan masalah gaji.
"Perkara ini amat mengecewakan kami lantas ia tidak mencerminkan sikap profesional persatuan. Kami lihat pasukan-pasukan bola sepak terus berhutang dengan para pemain, masih ligat merekrut pemain-pemain baharu bagi mempersiapkan diri untuk saingan musim depan,” katanya.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, apabila PFAM meminta penjelasan, jawapan yang sering diberikan oleh pasukan ialah tidak mempunyai dana, menunggu wang penaja dan pelbagai alasan lain.
Tambahnya, sejak beroperasi, PFAM melakukan pelbagai usaha meningkatkan tahap profesionalisme para ahli dan mentaliti profesionalisme pemain kini sudah semakin baik.
Hairuddin memberitahu, sekalipun diakui masih ada para pemain yang bermasalah, namun ia adalah suatu proses berterusan dan PFAM akan tetap komited melaksanakan tugas mereka.
"Profesionalisme dalam pengurusan pasukan dilihat tidak selari dengan tempoh yang dikatakan ‘berpengalaman’ dan ‘matang’ di mana persatuan masih berada di takuk lama. Isu yang berlaku adalah isu yang berulang.
"Malah, ketika kita bergerak ke arah penswastaan liga, pasukan masih lagi belum bersedia untuk keluar dari ‘zon selesa’ mereka. Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah pemain,” tegasnya.