KOTA BHARU 1 Jan. - Pertemuan antara Kerajaan Pas Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang sepatutnya berlangsung petang ini terpaksa ditangguhhkan.
Ini kerana keadaan banjir di negeri ini dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob terpaksa memberikan tumpuan masalah tersebut dan melawat beberapa kawasan ketika ini.
Difahamkan pertemuan itu akan diadakan pada 4 Januari ini.
"Kita terpaksa tangguhkan pertemuan pada hari ini memandangkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob perlu memberi keutamaan kepada mangsa banjir.
"Kita faham dengan situasi ini dan berharap pada pertemuan 4 Januari nanti mendatangkan keputusan positif kepada KAFA,"
Sebelum ini, Kerajaan Pas Kelantan menyatakan kesudian untuk bertemu Kafa pada 1 Januari.
Sementara itu, Pemangku Presiden Kafa Datuk Seri Affandi Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penangguhan pertemuan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Ab Fattah Mahmood dipetik berkata, keputusan akan dibuat selepas perbincangan antara KAFA dengan Menteri Besar Kelantan pada tarikh berkenaan.
Katanya, melalui perbincangan itu, kerajaan negeri akan memperoleh gambaran lebih jelas berhubung kemelut melanda KAFA sehingga mahu menarik diri dari Liga Malaysia (Liga M) musim depan.