Mayat Amir Azfar Rafa, 13, dan Ahmad Haziem Anizam, 14, ditemukan terdampar oleh penduduk di situ masing-masing pada pukul 9.30 malam tadi dan 10.30 pagi ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, mayat kedua-dua mangsa di­sahkan sendiri oleh ahli keluarga mereka yang melakukan pengecaman di Hospital Narathiwat.

Katanya, pengecaman tersebut berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa pada hari kejadian.

"Mayat Ahmad Haziem ketika ditemukan masih memakai baju berwarna gelap yang dijumpai tidak jauh dari mayat pertama iaitu kira-kira lima kilometer. Walau bagaimanapun kita dapati kepala dan muka mangsa berada dalam keadaan amat mendukacitakan.

"Mayat Amir Azfar pula ditemui hanya berseluar panjang berwana merah dan tidak berbaju," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Mari­tim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya yang mendapat kerjasama polis Thailand dan pihak hospital telah membawa pulang jenazah mangsa.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak 25 Disember lalu.

"Mayat mangsa akan dibawa pulang ke Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Amir Azfar dan Ahmad Haziem dilaporkan lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakan mereka di Pantai Tok Bali kira-kira pukul 4.15 petang

Walau bagaimanapun, dua rakan mereka Muhammad Firdaus Mustafa, 16, dari Kampung Taweh, Gaal dan Amir Shahir Zakima, 13, dari Kampung Ne­ring, Pasir Puteh sempat menyelamatkan diri dengan be­renang ke pantai.

Kesemua mereka datang ke pantai itu untuk berkelah dan mandi-manda sebelum kejadian itu berlaku berikutan ombak besar.