RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Sabtu, 14 Januari 2017

Mat Ghaddar kembali



BEKAS penyerang skuad kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar melengkapkan kuota import The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya, pada 20 Januari ini.

Mohammed Ghaddar atau lebih dikenali panggilan ‘Mat Ghaddar’ dalam kalangan penyokong TRW antara tiga pemain yang disambar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selain Cedric Djeugoue (Cameroon) dan Okikiola Afolabi (Nigeria).

Kelantan masih mengekalkan bekas pemain antarabangsa Senegal yang beraksi di posisi tengah, Morgaro Gomis untuk musim ini selepas menggugurkan Blazhe Ilijoski (Macedonia), Wander Luiz Bitencourt Junior (Brazil) dan Jonathan McKain (Australia).

Langkah mengikat tiga pemain itu terpaksa dibuat dengan segera memandangkan Kelantan kesuntukan masa untuk menguji mereka berikutan badan induk bola sepak negeri itu berdepan konflik berhubung penyertaan mereka dalam Liga-M, baru-baru ini.

Apapun tindakan Kafa, sama ada tepat atau pun tidak, itu hanya boleh dinilai sepanjang aksi pusingan pertama Liga Super berlangsung sebelum proses penyingkiran dapat dilakukan pada jendela perpindahan kedua pemain, pertengahan musim nanti.


PERNAH CETUS SENSASI
MOHAMMED Ghaddar pernah mencetuskan sensasi ketika menyarung jersi Kelantan sebanyak dua kali namun nama dia masih kekal dalam ingatan penyokong antara penyerang import terbaik pernah dimiliki pasukan itu.

Sekalipun tidak disukai kerana sikapnya yang lebih mementingkan diri setiap kali berada di atas padang, namun pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan memori manis apabila muncul penjaring terbaik pasukan pada musim 2012 dengan 21 gol daripada 32 penampilan.

Katakan apa sahaja mengenai bekas penyerang Al-Faisally SC dalam Liga Jordan ini, yang pasti Mohammed Ghaddar pada hari ini mungkin telah berubah perangainya dan bersedia menjadi penggempur terhebat dalam saingan musim ini.


HADIR REPUTASI TINGGI
DJEUGOUE hadir ke Kota Bharu dengan reputasi tinggi selaku bekas anggota skuad Piala Dunia Cameroon di Brazil 2014 dan kelibat pemain kelahiran Moungo itu sudah pasti akan menjadi perhatian penyokong Kelantan.

Pada usia 25 tahun, pemain yang pernah mendapat kepercayaan jurulatih Jerman, Volker Finke bagi memperkukuhkan benteng skuad Les Lions Indomptables dalam kempen Piala Dunia itu bakal dijadikan perbandingan sama ada mampu menjadi ‘ Obinna Nwaneri’ kedua bagi skuad pantai timur itu.

Djeugoue perlu cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya untuk membentuk gandingan ampuh di benteng pertahanan sebelum aksi pembuka tirai Liga Super menentang Melaka United di Kota Bharu, memandangkan skuad kendalian Zahasmi Ismail tidak sempat menguji dia dalam tempoh berbaki seminggu ini.


ADA KEISTIMEWAAN SENDIRI
AFOLABI dikatakan memiliki keistimewaan tersendiri dengan keupayaan menggunakan kedua-dua belah kaki dan penyerang yang baharu berusia 23 tahun ini bakal menjadi senjata kedua selepas Mohammed Ghaddar untuk meletakkan bola di dalam jaring.

Bekas pemain skuad kebangsaan Nigeria bawah 20 dan 23 tahun itu pernah mewakili Sunshine Stars FC selama empat musim (2013 hingga 2016) sebelum menyertai kelab Talleres de Cordoba dalam Liga Primera Argentina.

Penyerang yang mempunyai ketinggian 1.92 meter itu mempunyai peluang terbaik untuk mencipta nama di gelanggang keramat TRW itu selepas Austin Amutu (Nigeria), berbuat demikian dua tahun lalu.