RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Khamis, 12 Januari 2017

KAFA berhutang dengan FAM, FMLLP - Hamidin


SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Amin. - Foto Hasriyasyah Sabudin 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa badan induk bola sepak negara itu masih berhutang RM2 juta dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). 

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin mendedahkan KAFA yang masih berhutang dengan badan induk itu dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berjumlah kira-kira RM430,000. 

"Jumlah hutang KAFA kepada FAM dan FMLLP itu merangkumi gaji tertunggak pemain import Kelantan yang telah diselesaikan persatuan (FAM) ini pada tahun 2016. 

"Ia selepas permohonan dibuat sendiri oleh KAFA untuk meminta bantuan FAM mendahulukan wang berkenaan, denda-denda kes tatatertib serta hutang levi tiket yang masih belum dijelaskan KAFA kepada FMLLP. 

"KAFA hanya akan mendapat kira-kira RM70,000 daripada RM500,000 bayaran pendahuluan pertama agihan hak-hak penyiaran dan komersial yang sepatutnya diterima, selepas ditolak hutang dengan FAM dan FMLLP sebanyak RM430,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Annuar yang juga bekas Presiden KAFA sebelum ini mendakwa jumlah RM2 juta itu membabitkan hadiah kemenangan Liga Super (Kelantan di tempat keempat), hak penyiaran dan geran tahunan. 

Dalam kenyataan sama, Hamidin turut menjelaskan secara terperinci mengenai hak penyiaran dan geran tahunan seperti yang didakwa Annuar. 

"Ingin dijelaskan bahawa persatuan ini pada 30 Disember 2016 sudah pun mengkreditkan semua hadiah wang kemenangan Liga Super dan Liga Perdana untuk musim 2016 kepada pasukan-pasukan yang berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM2.025 juta. 

"Istilah geran tahunan kepada setiap pasukan sudah tidak diguna pakai lagi bermula musim 2016 apabila Liga Malaysia (Liga M) diswastakan. 

"Pasukan-pasukan telah diberi hak sebagai rakan kongsi liga dan mendapat sejumlah peratusan daripada pendapatan hak-hak penyiaran dan komersial iaitu sebanyak 40 peratus yang dinyatakan sebagai agihan hak-hak penyiaran dan komersial di atas penyertaan dalam liga," katanya. 

Tambah Hamidin, bagi agihan hak-hak penyiaran dan komersial kepada pasukan-pasukan bertanding untuk musim 2017, Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju untuk memberi 50 peratus pertama (RM500,000 bagi pasukan Liga Super dan RM250,000 bagi pasukan Liga Perdana) yang akan dibayar pada Januari 2017 manakala baki 50 peratus lagi akan diselesaikan ketika saingan liga berlangsung. 

"Berhubung wang perolehan daripada siaran langsung perlawanan Liga Super dan Liga Perdana di televisyen kepada pasukan tuan rumah dan pasukan pelawat, amalan berkenaan sudah pun dihentikan bermula musim 2015 selepas berakhirnya penajaan daripada Astro, seperti yang semua pasukan bertanding sedia maklum."

SUMBER : BERITA HARIAN