JURULATIH Kelantan, Zahasmi Ismail menganggap aksi persahabatan menentang tiga pasukan Liga Perdana sempena pra-musim bermula hari ini di ibu negara, cukup penting bagi menilai prestasi semasa pemainnya.
Zahasmi berkata, menerusi aksi tersebut, dia berpeluang mencari kesebelasan terbaik yang akan diturunkan apabila The Red Warriors bertemu Melaka United pada aksi pembuka tirai saingan Liga Super di Kota Bharu, 21 Januari ini.

“Setakat ini, bayangan (pemain) sudah ada tetapi saya perlu membuat penelitian lebih terperinci sebelum menentukan barisan terkuat nanti. Jadi, saya berharap dapat petunjuk baharu dalam tiga perlawanan yang diaturkan ini.

“Keputusan tidak penting kerana apabila kita bercakap mengenai aksi persahabatan, ia sepatutnya menjadi perkara kedua. Apa yang penting adalah menilai prestasi pasukan sendiri, bukan soal menang atau kalah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelantan bakal mengharungi aksi persahabatan berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) esok petang.

Pengendali berusia 50 tahun itu turut menjelaskan, kombinasi di antara barisan pemainnya semakin menunjukkan peningkatan setelah menjalani latihan, sejak sebulan lalu.

“Setakat ini, kombinasi mereka nampak okey cuma dari segi persefahaman, saya rasa belum mencapai tahap dikehendaki. Tetapi, saya percaya masalah itu boleh diatasi dalam tempoh berbaki dua minggu ini,” katanya.

Menurutnya lagi, dia berpuas hati dengan komitmen pemain muda dan senior kerana dapat menyesuaikan diri dengan sistem latihan sekali gus memudahkannya membentuk corak permainan skuad pantai timur itu dengan gaya tersendiri.

“Peranan pemain senior seperti Piya (Mohd Badhri Radzi), Indra Putra (Mahayuddin), Norhafiz Zamani (Misbah) sangat membantu dalam membimbing pemain muda dan pengalaman mereka sememangnya ditagih dalam pasukan ini,” katanya.

Bekas jurulatih kelab bola sepak Kementerian Kewangan (MOF) FC itu turut memberitahu, dia kini dalam fasa terakhir melengkapkan pasukannya dengan menanti kehadiran tiga pemain import baharu dalam masa terdekat ini.

“Tiga pemain import itu bakal menentukan hala tuju pasukan tetapi saya yakin kehadiran mereka boleh memberi impak positif kepada pasukan ini,” katanya.

Kelantan yang kini mempunyai Morgaro Gomis (Senegal) difahamkan bakal mengikat pemain skuad Piala Dunia Cameroon, Cedric Djeugoue, Okikiola Afolabi (Nigeria) dan bekas penyerang import sensasi mereka musim 2012 dan 2014, Mohammed Ghaddar bagi memperkuatkan cabaran pasukan, untuk saingan musim ini.

SUMBER : SINAR HARIAN