
Pemain Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, digantung lima perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana kekasaran terhadap pemain Selangor dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, 21 Mei lalu.
Wan Zaharulnizam dengan nama panggilan 'Kecik' didapati bersalah kerana melanggar 'Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan 'Salahlaku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan' dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Perintah keluar padang'.
Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur pula didapati bersalah kerana penyalaan bom asap dan pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan selepas perlawanan Piala FA di antara Kuala Lumpur dan Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 April lalu.
Atas kesalahan melanggar 'Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015' berkenaan 'Penganjuran Perlawanan' dan dibaca bersama dengan 'Artikel 69.2 Kod Tatatertib FAM 2015' apabila Kekecohan yang berlaku di dalam dan di luar stadium, KLFA didenda RM15,000.
Kegagalan Majlis Sukan India Malaysia (MISC-MIFA) menghormati keputusan Jawatankuasa Status FAM bertarikh 5 Januari 2016 untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji bulanan kepada pemain, Rajesh A/L Letchumanan, turut dipersalahkan..
MISC-MIFA didenda sebanyak RM1,500 dan diarahkan supaya menjelaskan kesemua amaun tertunggak sebelum atau pada 30 Jun 2016
Persatuan Bolasepak Melayu pula gagal untuk menghormati keputusan Jawatankuasa Status FAM bertarikh 7 Mac 2016 untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji bulanan kepada pegawai, Ahmad Sobri Ismail, Hussin Jaafar, Zulkipli Mahmud, Izham Mustafa, dan Abdullah Hassan.
FAM mendenda Persatuan Bolasepak Melayu RM1,500 dan perlu menjelaskan kesemua amaun tertunggak sebelum atau pada 30 Jun 2016.
