RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Sabtu, 2 Januari 2016

Penyokong TRW minta Qu Puteh kaji semula syarat



KOTA BHARU: Penyokong The Red Warriors (TRW) meminta Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengkaji semula dua syarat yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum bersedia menaja badan induk itu musim ini.

Presiden TRW Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi, berkata syarat yang dikenakan jutawan kosmetik itu agak berat untuk diterima penyokong dan tidak mustahil turut sukar dipenuhi oleh KAFA mahupun Perbadanan Stadium Kelantan (PSK). 

"Kami menghargai cadangan Dr Hasmiza untuk menaja Kelantan tetapi dua syarat yang dikenakan itu agak sukar untuk diterima. Kami harap KAFA dan Dr Hasmiza bincang semula syarat penajaan berkenaan. 

"Kami faham mungkin Dr Hasmiza tidak mempunyai pengalaman dalam bidang sukan sehingga sanggup menetapkan syarat itu. 

"Setiap perkara yang ingin dilakukan menggambarkan identiti dan imej pasukan sendiri. Bagi kami warna merah jambu tidak sesuai buat pasukan Kelantan kerana warna merah yang sedia ada lebih menggambarkan sifat gagah dan garang. Malah, merah dan putih juga melambangkan bendera Kelantan," katanya. 

BH Sukan semalam melaporkan Dr Hasmiza menetapkan dua syarat kepada KAFA sebelum bersedia menaja badan induk itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016. 

Dua syarat berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada merah jambu dan nama baharu skuad Kelantan seharusnya didahului dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW). 

Dr Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Qu Puteh berkata syarat yang dituntut itu bukan saja dapat mengubah wajah pasukan Kelantan, malah yang lebih penting pasukan itu memperoleh suntikan dana untuk mengubah semula kredibilitinya. 

Mengenai cadangan nama skuad Kelantan yang mahu ditukar kepada Pamoga Qu Puteh TRW, Faizal berkata ia juga tidak sesuai kerana tidak ada mana-mana pasukan termasuk dari Eropah yang berbuat demikian. 

"Pasukan dari Eropah sendiri tidak meletakkan penaja pada nama pasukan mereka. Ia akan kelihatan pelik jika perkara itu dilakukan. Kami tahu Qu Puteh ikhlas mahu bantu KAFA menyelesaikan masalah kewangan, namun syarat itu juga boleh mendatangkan kemarahan kepada penyokong. 

"Bagi kami, KAFA perlu memikirkan semula perkara itu dan banyak lagi perkara lain boleh dilakukan. Jika sememangnya tidak mendapat persetujuan, mungkin ada jalan lain lagi untuk mendapatkan dana. 

"Apa pun, kami yakin pengurusan KAFA dapat menyelesaikan segala masalah dan kekeliruan ini. Insya-Allah keputusan yang KAFA buat nanti adalah untuk kebaikan semua, baik pengurusan, penaja mahupun penyokong. Kami sentiasa menyokong bola sepak Kelantan untuk terus maju dan bersaing," katanya.