JOHOR BAHRU 7 Feb. - Bekas Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez bakal dilantik sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan?
Persoalan itu timbul ekoran entri terbaharu dalam laman sosial Facebook JOHOR Souther Tigers yang memaparkan gambar jurulatih kelahiran Argentina itu bersama-sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Tunku Mahkota Johor bersama bakal jurulatih pasukan kebangsaan, Mario Gomez mengucapkan selamat maju jaya kepada Kelab Bolasepak JDT dalam perlawanan petang ini menentang Gamba Osaka," demikian menurut entri tersebut.
Gomez memberi kejutan kepada peminat JDT apabila memilih untuk membawa haluan sendiri ketika berbaki dua hari sebelum sepak mula Liga Super 2017 pada 18 Januari lalu dan tempatnya digantikan oleh Benjamin Mora yang sebelum ini membimbing JDT II.
Sebelum ini, sudahpun terdapat khabar angin bahawa Gomez merupakan antara calon jurulatih skuad Harimau Malaysia dan tidak mustahil perkara itu menjadi kenyataan sekiranya Tunku Ismail dipilih menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). - UTUSAN ONLINE