KOTA BHARU: Kehadiran semula bekas penyerang kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar untuk menyarung kembali jersi Kelantan musim ini jelas melegakan pengendali skuad dan barisan pemain The Red Warriors (TRW).
Bercakap kepada BH Online, pembimbing Kelantan, Zahasmi Ismail, berkata beliau optimis Ghaddar berupaya bertindak cemerlang mengetuai jentera serangan pasukannya musim ini. Katanya, pengalaman dimiliki pemain itu diharap dapat membantu mereka meraih kejayaan lebih cemerlang.
"Ini adalah kali ketiga Ghaddar bersama kami dan saya percaya beliau sudah bersedia untuk menggalas tanggung jawab sebagai penyerang berbisa TRW.
"Saya percaya semua pemain juga dapat memberikan kerjasama kepada Ghaddar dan beraksi lebih mantap sepanjang kempen Liga Malaysia kali ini," katanya ketika ditemui BH Sukan di Padang latihan Institut Latihan Pertanian MARDI di sini, hari ini.
Sementara itu, Kapten TRW, Mohd Badhri Radzi atau Piya berkata, sentuhan penyudah yang ditampilkan Ghaddar ketika bersama Kelantan pada musim 2012 dengan 21 gol sangat membanggakan peminat negeri itu.
"Saya yakin kehadiran Ghaddar mampu menambahkan kembali sengat serangan TRW yang agak longlai sebelum ini .
"Malah gandingan Ghaddar dengan pemain tempatan seperti Indra Putra Mahayudin dan Norfarhan Mohammad juga bakal memberi impak positif kepada pasukan," katanya.
Ghaddar juga antara pemain yang digemari majoriti peminat TRW dan pernah mencipta sejarah bersama pasukan itu pada 2012 apabila menjulang tiga piala iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.
Sumber : Berita Harian