KOTA BHARU 4 Jan. - Sokong tetapi tidak tolong. Itu kenyataan sesuai mengambarkan sikap Kerajaan Negeri Kelantan yang mengaku menyokong skuad The Red Warriors (TRW) tetapi menolak beberapa permohonan bantuan yang diminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Kerajaan negeri menolak empat daripada lima permohonan yang dikemukakan Kafa dalam usaha meringankan beban kewangan persatuan tersebut yang kini mahu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan hanya meluluskan permohonan melupuskan cukai hiburan bernilai RM500,000 yang dikenakan kepada Kafa.
Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri juga tidak bersetuju melupuskan levi stadium dan menolak permohonan Kafa untuk mendapat geran RM7 juta dan bantuan one-off RM3 juta.
“Kita telah buat keputusan bahawa kita tolak semua permohonan Kafa kecuali satu iaitu pelupusan cukai hiburan yang kita telah maklumkan kepada pihak mereka.
“Kafa juga meminta melupuskan levi stadium 10 peratus tetapi kita tidak setuju malah nilai levi ini akan dikekalkan sehinggalah ada sebarang peraturan baharu.
“Walaupun kita tidak lupuskan levi tetapi kita tidak pernah menekan pihak Kafa untuk segera membayar tunggakan,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Dalam masa sama, Abdul Fattah bagaimanapun berkata, pihaknya sudah bersepakat dengan Kafa untuk memastikan TRW beraksi dalam Liga M.
Katanya, kerajaan negeri optimis barisan penaja yang berminat akan memberi tajaan sebaik sahaja melihat tahap ‘sokongan’ kerajaan negeri.
“Sebagaimana saya sebut sebelum ini, penglibatan kerajaan negeri adalah membina balik keyakinan bahawasanya kerajaan tidak pernah tinggalkan sokongan kepada TRW.
“Apabila kita nyatakan sokongan, kita harap penaja akan lebih yakin untuk taja kita,” katanya.
- UTUSAN
- UTUSAN