ANTARA pemain yang diturunkan mewakili skuad Tok Gajah dalam perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur FA di Stadium Perbandaran Temerloh, Pahang malam tadi. - UTUSAN ONLINE
TEMERLOH 8 Jan. - Senarai penuh barisan pemain yang membawa cabaran skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia musim ini akan diumumkan Sabtu ini sempena Karnival Pahang Super Fans di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini.
Pengendali pasukan itu, Dollah Salleh berkata, pasukan berkenaan kini dalam proses memuktamadkan senarai pemain menjelang Liga Malaysia 2017 yang membukai tirai pada 20 Januari ini.
Katanya, Tok Gajah yang mahu kembali menjadi pasukan digeruni membuat persiapan rapi apabila seramai 31 pemain sedang menjalani latihan intensif termasuk lapan pemain berpengalaman tempatan.
‘’Dalam perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur FA, kita menguji empat pemain import termasuk bagi meningkatkan keserasian di semua posisi.
‘’Mereka mempamerkan permainan yang berkualiti namun senarai pemain skuad Tok Gajah hanya akan diumumkan Sabtu ini,’’ katanya ketika ditemui selepas perlawanan berkenaan yang berkesudahan Pahang menundukkan Kuala Lumpur FA 3-2 di Stadium Perbandaran Temerloh malam tadi.
Menurut Dollah, para pemain mempunyai satu lagi peluang untuk mempamerkan kebolehan masing-masing dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Singapura di republik itu, Isnin ini.
Dalam pada itu, jurulatih berkenaan gembira melihat sokongan peminat setia Pahang dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuantan FA dan Kuala Lumpur FA di Stadium Perbandaran Temerloh.
‘’Kehadiran ramai penyokong menunjukkan mereka menaruh harapan tinggi kepada skuad Tok Gajah pada musim ini,’’ katanya. - UTUSAN ONLINE
- UTUSAN