KAPTEN The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi jelas lega selepas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berjaya menyelesaikan isu tarik diri pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.
Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, khabar gembira itu sekali gus melenyapkan kerisauan dia dan rakan-rakan sepasukannya berhubung masa depan skuad pantai timur itu sama ada beraksi atau sebaliknya pada musim ini.

“Memang sebelum ini hati kami (pemain) berdebar-debarlah, tertanya-tanya juga apa nasib pasukan ini memandangkan kami sudah menjalani latihan pra musim, sejak awal Disember lalu.

“Namun persoalan itu sudah terjawab dan saya mewakili rakan-rakan mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri (Annuar) kerana bersedia membantu pasukan dari luar sekali pun beliau sudah meletak jawatan presiden, dua bulan lalu,” katanya.

Kapten berusia 35 tahun itu berkata demikian kepada Sinar Harian semalam selepas diminta mengulas keputusan badan induk bola sepak negeri itu mengekalkan penyertaan Kelantan dalam Liga-M musim ini.

Akhbar ini semalam melaporkan, Annuar mengumumkan beliau melalui dua syarikat yang dipengerusikannya, tampil selaku penaja utama sekali gus menyelamatkan Kelantan untuk terus kekal beraksi dalam liga paling kompetitif itu.

Justeru, perancang tengah itu memberitahu, dia mahu melupakan segera ‘episod buruk’ itu dan kembali fokus terhadap persiapan pasukan bagi menghadapi aksi pembuka tirai Liga Super menentang Melaka, pada 20 Januari ini.

Katanya, sekali pun senario bola sepak Kelantan dilanda masa depan tidak menentu sebelum ini, namun dia optimis skuad kendalian Zahasmi Ismail ini mampu menjadi pencabar kepada pasukan lain pada musim ini.

“Walaupun pasukan ini dibarisi ramai pemain muda, namun saya lihat kita masih ada kualiti dari segi corak permainan dan boleh beri saingan kepada pasukan lain. Jadi, tunggu kejutan daripada kami,” katanya.

Bekas juara tiga piala musim 2012 itu masih mengekalkan sebahagian besar pemain senior, antaranya Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Zairul Fitree Ishak dan Mohd Farisham Ismail.