PENGENDALI The Red Warriors (TRW), Zahasmi Ismail (empat kanan) berbincang dengan pemain Kelantan ketika sesi memanaskan badan di Padang Latihan Institut Latihan Pertanian Mardi, Pasir Tumbuh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Pasukan bola sepak Kelantan The Red Warriors (TRW) perlu segera memperkemaskan jentera serangan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini yang akan membuka tirainya 21 Januari ini. Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata TRW didapati masih lemah pada posisi serangan selepas mengharungi beberapa perlawanan ujian sebelum ini.
"Semasa perlawanan persahabatan, pemain bahagian hadapan (penyerang) gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang," katanya kepada pemberita selepas menjalani sesi latihan pasukan TRW di sini, petang semalam.
Kelantan akan bertemu Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini pada 21 Januari ini. Zahasmi berharap kehadiran tiga pemain import iaitu Mohamed Ghaddar dari Lubnan, Cedric Djeugoue dan Okikiola Afolabi dari Nigeria, akan memperkuatkan pasukan itu.
"Saya berharap kehadiran pemain import ini iaitu dua penyerang dan seorang pertahanan akan dapat membantu pasukan memperoleh keputusan terbaik pada setiap perlawanan," katanya. - BERNAMA
SUMBER : BERITA HARIAN