RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Jumaat, 6 Januari 2017
Warga Myanmar mati dibunuh di Serdang
MAYAT keempat-empat mangsa warga Myanmar ditemui terbaring di dalam longkang, atas jalan dan tepi pagar kilang selepas diserang sekumpulan lelaki juga dipercayai warga Myanmar di Sri Serdang, malam tadi.- Foto NSTP
SERDANG: Empat lelaki warga Myanmar mati selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki dua kereta di Sri Serdang, Seri Kembangan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, kesemua mangsa yang juga pekerja sebuah kilang bersama 11 rakan lain dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka selepas tamat waktu bekerja.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat, berkata semasa melalui kawasan kilang yang sunyi, kumpulan pekerja kilang terbabit didatangi dua kereta dinaiki suspek.
"Berdasarkan maklumat saksi, suspek terbabit keluar dari kereta dinaiki mereka dan terus menyerang mangsa sebelum empat daripada mereka disahkan mati di tempat kejadian.
"Tiga lagi mangsa lain cedera parah dan kini sedang mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi. Beliau berkata, setakat ini polis sudah menahan lima individu bagi membantu siasatan selain mengenal pasti motif sebenar kejadian serangan berkenaan.
"Setakat ini kita sedang berusaha mengenal pasti punca utama sama ada mempunyai kaitan dengan masalah di tempat kerja, dendam atau masalah lain," katanya. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.