RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Rabu, 5 Julai 2017

Komen Zahasmi Ismail Selepas Kelantan FA Berjaya Menang Keatas UITM FC


Jurulatih pasukan Kelantan, Zahasmi Ismail, menganggap kemenangan 3-1 The Red Warriors (TRW) ke atas UiTM FC dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV semalam, sebagai permulaan baik bagi menghadapi cabaran yang lebih sukar.

Namun, Zahasmi percaya masih banyak yang perlu dibaiki terutama di bahagian serangan jika Kelantan berhajat untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.

“Alhamdulillah, satu permulaan yang baik dan kami berjaya mencatatkan kemenangan di gelanggang sendiri biarpun UiTM FC memberikan cabaran yang cukup sengit.

“Banyak kelemahan yang perlu dibaiki oleh pemain terutamanya barisan serangan yang banyak membazirkan peluang menjaringkan gol. Masih ada lima perlawanan yang cukup sukar dalam Kumpulan C dan perjalanan masih panjang,” katanya.

Zahasmi juga memuji sumbangan pemain muda yang telah memberikan aksi terbaik bagi membantu pasukan bangkit semula selepas dimalukan Sarawak dalam saingan Liga Super, minggu lepas.

“Pemain muda seperti Khairul Izuan (Rosli) , Mohd Danial (Asyraf), Nik Azli (Nik Alias) dan Ramadhan (Abd Hamid) berjaya membuktikan Kelantan tidak ketandusan bakat muda dan berikan sedikit masa untuk mereka menunjukkan kehebatan sebenar."

Dalam saingan semalam, TRW turun dengan semangat mahu mengembalikan sentuhan kemenangan di gelanggang sendiri, mengasak mencari gol pendahuluan.

Bagaimanapun, UiTM FC mendapat dua peluang terbaik tetapi dipersiakan pemain import Korea Selatan, Do Dong Hyun, pada minit keenam dan ke-10.

Peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-18 malangnya sepakan kencang Mohd Khairul Izuan Rosli berjaya ditepis penjaga gol, Mohd Soffuan Tawil. 

Penyerang Nigeria, Akanni Sunday Waisu, pula hampir meletakkan UiTM FC di depan tetapi sepakannya berjaya dihalang Mohd Qayyum Marjoni Sabil pada minit ke-27.

Kelantan mendapatkan gol pertama melalui sepakan leret Mohd Khairul Izuan Rosli yang menerima umpanan kemas Kapten, Mohd Badri Radzi, pada minit 41.


Pengarah Teknikal pasukan itu, Alfredo Gonzales, membuat dua pertukaran selepas rehat dengan mengeluarkan Margaro Gomis dan Mohd Danial Asyraf Abdullah untuk memasukkan Mohd Norfarhan Muhammad dan penyerang import, Alessandro Padovani Celin.

UiTM FC berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan kencang Akanni-Sunday Wasiu yang menewaskan Ramadhan pada minit 51 setelah menerima hantaran cantik, Dong Hyun.

Izuan kembali meletakkan TRW di depan melalui rembatan leret yang menewaskan penjaga gol UiTM, Mohd Soffuan, untuk gol kedua peribadi pada minit 61, juga daripada umpanan cantik Mohd Badri.

UiTM FC kembali mengasak dan hampir menyamakan kedudukanpada minit ke-79  namun sepakan kencang Dong Hyun tersasar biarpun Ramadhan telah tersilap langkah.

Pemain import Lubnan, Abou Bakr Al Mel, menutup perjuangan UiTM dengan jaringan cantik pada minit ke-90 untuk TRW lega mengutip mata penuh di gelanggang sendiri.


Sumber Artikel & Gambar Zahasmi : STADIUM ASTRO