Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, tempoh seminggu diberikan Football Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk menyelesaikan segala masalah itu adalah memadai.
Menurutnya, Kafa sentiasa berhubung dengan FMLLP untuk memastikan segala dokumen yang diperlukan itu dapat dipenuhi dan mengikut syarat-syarat telah ditetapkan.

“Buat masa ini Kafa sedang berusaha ke arah itu dan kami yakin dapat memenuhi apa yang telah mereka tetapkan itu.

“Itu sahaja komen yang saya boleh berikan setakat ini, selebihnya kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kafa diberikan tempoh se­minggu oleh FMLLP sebelum pintu perpindahan ditutup pada 11 Jun ini untuk menyelesaikan segala kemelut yang melanda kelab tersebut.
Ismail memberitahu, Kafa berharap permohonan itu dapat diluluskan memandangkan Kelantan amat memerlukan khidmat Seydi untuk menggantikan penyerang dari Brazil, Alessandro Celin yang bergelut dengan prestasi kurang memuaskan akibat kecederaan.

“Kami harap semua isu berhubung pendaftaran pemain import dapat diselesaikan de­ngan kadar segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya sedang berusaha menyelesaikan tunggakan gaji melibatkan barisan pemain pasukan Piala Presiden setelah semalam Kafa menyelesaikan bayaran gaji membabitkan pa­sukan Piala Belia.