Hanif Mohamad Ali, 32, dilihat menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 1 Mac tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi menggantikan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan penjara 20 tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 (a) kanun yang sama.

Beliau yang bersidang bersama Tan Sri Idrus Harun dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh tangkapan pada 31 Mac 2011.

Hanif disabitkan kesalahan menyebabkan kematian pelajar tahun satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di antara pukul 6 petang dan 12 tengah malam di bilik warden asrama putera di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau pada 31 Mac 2011.

Keterangan kes menyatakan, mangsa dipanggil ke bilik warden selepas disyaki mencuri wang RM1 sebelum tangannya diikat ke atas dengan tali rafia pada jeriji besi dalam keadaan berdiri manakala bibirnya ditumbuk dan lehernya dicekik.

Keterangan salah seorang pelajar sekolah itu menyebut, dia mendengar bunyi tangisan dari bilik warden ketika sedang mengambil wuduk untuk bacaan surah Yasin pada malam tersebut.

Sementara itu, salah seorang ustaz sekolah berkenaan ketika dipanggil ke bilik warden mengaku melihat Hanif memangku kanak-kanak tersebut yang ketika itu diserang penyakit sawan dalam keadaan tubuhnya menggigil dan gigi terkancing.

Laporan bedah siasat menunjukkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia tiga hari kemudian akibat tekanan pada leher dalam jangka masa pendek sehingga menghalang bekalan darah yang membawa oksigen ke otak.

Hakim Ahmadi ketika membacakan keputusan itu berpuas hati bahawa terdapat merit dalam rayuannya kerana tiada keterangan bahawa perayu mempunyai niat mendatangkan kecederaan pada leher mangsa yang membawa kepada kematiannya.

Sebelum itu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Hanif berhujah, keterangan pihak pendakwaan tidak mencukupi bagi membuktikan anak guamnya mempunyai niat membunuh mangsa ketika menyebabkan kecederaan pada lehernya.

Beliau yang hadir bersama Azizzul Shariman Mat Yusof dan Muhamad Hafiz Leman berhujah, jika perayu mempunyai niat membunuh, mangsa akan menemui ajal serta-merta bukannya selepas tiga hari kejadian berlaku.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, cara mangsa diperlakukan tidak menunjukkan dia sedang dihukum sebaliknya perbuatan guru berkenaan lebih menjurus kepada penderaan.

Beliau berhujah, mangsa yang bertubuh kecil dicekik untuk tempoh kira-kira empat minit.
“Sudahlah tiada bukti mencuri, tindakan terhadap mangsa hanya atas syak wasangka. Ini kes penderaan, bukan menghukum,’’ hujah Wan Shaharuddin.

Sementara itu, Ariff Azami memohon agar anak guamnya yang tidak mempunyai rekod jenayah diberi peluang supaya tidak dikenakan hukuman penjara yang panjang.
Peguam bela berhujah, Hanif sedang mengikuti projek perintis program tahfiz di Penjara Tapah, Perak sebagai tenaga pengajar yang menunjukkan anak guamnya masih boleh menyumbang kepada masyarakat.

Namun demikian, Wan Shaharuddin mencadangkan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dengan memberi pertimbangan terhadap cara jenayah dilakukan yang membawa kepada kematian mangsa manakala kelakuan perayu selepas kejadian tidak wajar diambil kira.