Penasihat Kafa yang juga Penaja Utama The Red Warriors, Tan Sri Annuar Musa mendakwa tindakan dibuat oleh FMLLP tersebut bersifat tidak adil kerana memilih pasukan tertentu sahaja selain mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan pasukan Kelantan.
“Kafa akan lawan, saya sudah beritahu Kafa supaya lantik peguam dan lawan. Sanna Nyasi akan tetap didaftarkan.
“Kalau kita boleh buktikan apa kita buat menepati peraturan, namun Kelantan masih dihalang mendaftar pemain baharu, kita akan bawa FAM ke mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas program larian dan penyerahan bendera UMNO di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini hari ini.
Pasukan Kelantan ditimpa malang berganda dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila bukan sahaja dikenakan pemotongan enam mata dalam Liga Super malah dilarang mendapatkan pemain baharu pada pasaran perpindahan yang dibuka 15 Mei depan.
Tindakan tersebut diputuskan oleh FMLLP kerana TRW dikatakan gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain mereka.
Selain Kelantan, FMLLP turut mengenakan tindakan sama terhadap tiga lagi pasukan iaitu T-Team, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - UTUSAN ONLINE