Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Ismail Md. Nor berkata, selain itu wang tersebut turut digunakan untuk membayar gaji semasa pemain yang tertangguh.

"Bayaran gaji pasukan Liga Super Kelantan untuk bulan April sahaja melebihi RM640,000.
"Manakala bayaran pendahuluan pemain import, Abou Bakr (Al-Mel) atau lebih dikenali sebagai Bako dan yuran ejennya, lebih RM300,000,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, ia tidak termasuk tunggakan gaji bekas pemain import dari Nigeria, Obinna Nwaneri dan pemain import yang sedang beraksi bersama pasukan itu, Morgaro Gomis.
Katanya, kesemua itu mencecah hampir RM50,000 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM990,000.
Ismail memberitahu, KAFA memberi perhatian serius terhadap sekatan pendaftaran pemain baharu oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sehingga menimbulkan keraguan terhadap pihaknya ke mana wang tersebut dibelanjakan?
Katanya, dalam soal mengambil pemain import baharu, KAFA mengambil pendekatan berhati-hati kerana tidak mahu melanggar peraturan yang ditetapkan badan pengendali Liga Malaysia itu.

“Pembelian Abou Bakr daripada sebuah kelab di Lubnan juga tidak melebihi kos pembiayaan Mohamad Ghaddar termasuklah gaji bulanan dan lain-lain bayaran. Jadi, kita anggap FMLLP dapat meluluskan pendaftaran pemain itu dengan mudah.
“Saya ingin dedahkan kepada umum supaya semua pihak boleh memahami dengan tepat isu ini dan satu penyata rasmi akan dihantar segera kepada FMLLP dan salinan buat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk dinilai secara adil dan tanpa prejudis," ujarnya.

Mengulas sekatan pendaftaran Seydi L Imam, beliau menjelaskan, FMLLP seharusnya mendapatkan penjelasan daripada KAFA terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

“Saya tidak mahu berpolemik dengan FMLLP, Seydi bukan dibeli KAFA tetapi dibawa oleh ejennya,” katanya.