Memijak perut, menampar dan menendang pemain lawan adalah kesalahan terbaharu yang dilakukan pemain manakala ke­salahan memaki pengadil semakin sering berlaku.
Terbaharu Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghukum tiga pemain daripada pasukan Liga Super, Liga Perdana, Piala FAM dan Piala Presiden kerana perlakuan kasar mereka dengan fakta kes menunjukkan ada yang memijak perut pemain lawan.
“Pemain Sabah, Dendy Lowa melanggar Artikel 50.1 (d), Kod Tatatertib FAM berkenaan salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan apabila telah dilayangkan kad merah kerana berkelakuan ganas memijak bahagian perut pemain Terengganu, Issey Farran Nakajima.
“Kesalahan itu dilakukan ketika Terengganu menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 7 April lalu. Lowa digantung tiga perlawanan serta didenda RM3,000 malah diberi amaran keras dan hukuman lebih berat dikenakan jika mengulangi kesalahan sama,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jawatankuasa itu turut menghukum pemain T-Team, Muhammad Fakhrurazi Musa kerana melanggar Artikel 59 berkenaan kelakuan yang menyinggung dan fair play apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan ketika menentang Perak di Stadium Perak pada 8 April lalu.
Dia digantung tiga perlawanan serta didenda RM3,000 dan diberi amaran keras akan dihukum lebih berat jika mengulangi kesalahan sama.
Nasib yang sama turut menimpa pemain Pulau Pinang, Mafry Balang apabila dikenakan hukuman sama seperti Dendy dan Fakhrurazi selepas melanggar kad Artikal 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM berkenaan salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan apabila telah dilayangkan kad merah kerana menendang paha pemain Felda United, Gaston Cellerino.
Lebih mengejutkan apabila dua pemain dari skuad Piala Pre­siden turut melakukan kekasaran terhadap lawan masing-masing sehingga mengakibatkan mereka dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Pemain UiTM FC, Mohd. Zulkiffli Zakaria didapati melanggar Artikel 50.1 (d), Kod Tatatertib FAM ber­kenaan salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan apabila telah dilayangkan kad merah kerana menampar muka pemain Terengganu, Muhammad Fakrul Wahib.
Fakhrul turut melanggar kod artikel yang sama apabila me­numbuk dada Zulkiffli.
Kedua-dua pemain itu digantung tiga perlawanan dan didenda RM1,000 serta diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua pasukan bertemu pada 13 April lalu.