MERSING: Sultan Johor menasihatkan pihak berkepentingan politik yang cuba memecah belahkan rakyat Johor supaya menghentikan segera perbuatan itu.
Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, baginda tahu apa yang baik untuk rakyatnya dan tidak memerlukan campur tangan orang luar.
Malahan, baginda juga meminta anak Johor sendiri supaya tidak bertindak sehingga memecah belahkan rakyat negeri itu.
"Orang luar Johor saya nasihatkan sama ada bukan politik atau politik jangan campur hal Johor. Saya tahu apa yang baik untuk rakyat saya. Saya pandang rakyat saya bukan daripada segi politik... sebagai rakyat.
"Saya sayang rakyat saya. Bila orang luar datang Johor memecah belah orang Johor atau orang Johor yang duduk di Kuala Lumpur balik ke Johor, yang ada kepentingan politik dan memecah belahkan, bolehlah berambus. Kamu tidak dialu-alukan di sini. Bila cita-cita mereka tak tercapai, yang rugi adalah rakyat," titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam dalam temubual eksklusif bersama agensi media di bawah Media Prima Berhad baru-baru ini, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, lusa.
Walaupun tidak menyatakannya, ia dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia yang mengkritik projek pembangunan Forest City, mempersoalkan status hak milik tanah dalam projek perumahan di situ dan dakwaan kononnya warga China yang membeli rumah boleh menjadi warga Malaysia.
Malah, Dr Mahathir menyiarkan rakaman gambar beliau ketika kunjungannya ke Forest City bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam blognya dan disiarkan oleh beberapa portal berita.
Ditanya mengenai kemungkinan rakyat tidak memahami kerana diputar belit mengenai perkara itu, Sultan Ibrahim berkata: " Kalau saya nak sembunyi nak menipu rakyat saya, buat apa yang pergi letak papan tanda hak milik kekal kat situ. Guna kepala otak lah. Bergambar ramai-ramai kat situ."
Sumber : BERITA HARIAN