KUANTAN 24 Mac – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyambut baik tindakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang memberi laluan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tengku Abdullah berkata, jawatan No.1 FAM itu tidak seharusnya dipertandingkan dan peluang perlu diberikan kepada Tengku Ismail untuk memajukan bola sepak negara.
“Baguslah, senang. Tak perlu bertanding-bertanding. Beri peluang kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk memajukan bola sepak negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Kejohanan Tomoi Pantai Timur Piala Tengku Mahkota Pahang di Padang Belia Felda Bukit Goh di sini hari ini.
Semalam, Annuar yang juga calon bagi merebut kerusi panas Presiden FAM mengambil keputusan mengundur diri, bermakna Tunku Ismail secara automatik akan menggantikan Tengku Abdullah.
Annuar berundur daripada bertanding dalam Kongres FAM Ke-53 hari ini selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk menjaga keharmonian dalam komuniti bola sepak tanah air.
Tengku Abdullah berharap, pemilihan Tunku Ismail dapat meningkatkan mutu bola sepak secara keseluruhannya.
“Semua pihak perlu memberikan bantuan bagi menjayakan hasrat ini,” katanya. – UTUSAN
Sumber : UTUSAN © Utusan Melayu (M) Bhd