JDT, bekas juara Piala AFC 2015, ketinggalan dua gol kepada skuad bimbingan Kenta Hasegawa hanya dalam tempoh tiga minit awal babak pertama perlawanan untuk merebut tempat ke peringkat Kumpulan H ACL itu.
Tandukan Ademilson dan rembatan kaki kiri Shun Nagasawa dalam kotak penalti menghukum kerapuhan benteng JDT pada minit ke-26 dan 29 sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat Farizal Marlias di Stadium Bola Sepak Suita City, Osaka.
Jaringan ketiga Gamba Osaka menerusi tandukan jarak dekat Genta Miura hasil umpanan lintang Yasuhito Endo pada minit ke-70 langsung menamatkan cabaran JDT yang kini tersingkir ke persaingan Piala AFC 2017.
Namun, dari segi semangat, jelas pemain-pemain JDT boleh dipuji dan mereka memberikan saingan sengit serta berjaya melakukan beberapa percubaan ke gawang tuan rumah antaranya pada minit ke-10, 17 dan 41 masing-masing menerusi rembatan kaki kiri S. Kunanlan dan Safawi Rashid serta Brian Ferreira yang diselamatkan penjaga gol Masaaki Higa Shiguchi atau sedikit tersasar.
Satu lagi rembatan kaki kiri Safawi pada minit ke-53 dari luar kotak penalti hasil umpanan Kunanlan juga sempat dikekang manakala sepakan bebas kapten Safiq Rahim tiga minit sebelum tamat permainan meliar tinggi.
Cuaca dingin dengan suhu sekitar tiga darjah Celsius di stadium yang dihadiri 8,149 penonton itu kelihatan turut mempengaruhi rentak permainan JDT yang dibimbing Benjamin Mora.
JDT mara ke play-off ACL selepas mengalahkan Bangkok United menerusi sepakan penalti penentuan 5-4 apabila terikat 1-1 di Pathum Thani, Thailand, 31 Januari lalu.
Bagi Piala AFC 2017, Harimau Selatan bakal bersaing dalam Kumpulan F dengan Global FC (Filipina) dan Beoungket Angkor FC (Kemboja) selain Magwe FC (Myanmar) yang akan berkunjung ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, 21 Februari ini.
Kegagalan JDT ke ACL juga menutup peluang juara Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017, Kedah untuk menggantikannya ke Piala AFC musim ini.