Biarpun menerima tekanan hebat, namun Zahasmi menegaskan, dia sama sekali tidak akan menuding jari kepada mana-mana pihak atas aksi hambar yang dipamerkan The Red Warriors, sebaliknya bertanggungjawab sepenuhnya atas kemerosotan pasukan.

Dalam masa sama, Zahasmi turut menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menentukan masa depannya.

“Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab malah bersedia berdepan sebarang kemungkinan (disingkir). Saya sudah melakukan yang terbaik untuk pasukan ini.

“Semua jurulatih mahukan keputusan baik tetapi ada ketika kita tidak dapat apa yang kita mahu pada setiap masa. Saya masih ada kontrak (setahun) dan terpulang kepada pihak pengurusan untuk tentukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor memberitahu, pihaknya tidak akan menyingkirkan pengendali berusia 50 tahun itu sekali pun prestasi Kelantan terumbang-ambing.

Katanya, Kafa masih memerlukan Zahasmi untuk memulihkan prestasi Kelantan biarpun ia mungkin mengambil sedikit masa.

“Tidak (singkir Zahasmi), setakat ini. Kami me­rasakan dia perlu diberi kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan tugas. Kafa percaya dia mampu memperbaiki keadaan berdasarkan sumber yang ada,” katanya.

Mengulas mengenai desakan penyokong yang mahu Zahasmi disingkir, Ismail memberitahu, belum tiba masanya untuk mereka menukar jurulatih.

“Kita hormat pandangan peminat namun pengalaman lalu menjadi pengajaran pen­ting agar tidak menukar jurulatih sesuka hati,” katanya.

Sumber : UTUSAN