KOTA BHARU: Ketika saingan Liga Super bakal bermula kurang 48 jam, Persatuan Bola Sepak Kelantan ( KAFA) mengambil langkah drastik mengenepikan dua pemain import, Okiki Afolabi dan Cedric Djeugoue selepas gagal ujian kecergasan serta masalah dokumentasi.
Sumber KAFA berkata, kedua-dua pemain itu masih belum diturunkan dalam siri latihan pasukan bahkan didapati mempunyai rekod kecederaan yang teruk.
"TRW bukanlah tempat persinggahan pemain yang dikategorikan 'sakit' atau sekadar menumpang sementara menunggu tempoh sembuh daripada kecederaan," kata sumber.
Sehubungan itu, Kelantan terpaksa mencari pemain baharu untuk mengisi kekosongan yang dua pemain itu sebelum berlangsungnya Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain TRW di Kelantan Trade Center (KTC) pagi Jumaat.
Segala pengesahan berhubung pengganti import baharu bakal terjawab dengan pengumuman rasmi KAFA sehari sebelum sepak mula.
Sebelum ini, BH Sukan melaporkan, dua pemain import Kelantan masih gagal melepasi ujian kecergasan untuk disenaraikan dalam skuad The Red Warriors (TRW) musim ini. Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa mewajibkan import mesti melepasi tiga syarat termasuk lulus ujian kecergasan dan diterima ketua jurulatih.
Setakat ini, KAFA mengikat Mohamed Ghaddar, Cedric Djeugoue, Okikii Afolabi dan Margaro Gomis untuk mengisi kuota pemain import TRW.
SUMBER : BERITA HARIAN