KAHERAH 3 Jan. - Seorang hakim kanan kerajaan Mesir yang ditahan kelmarin atas dakwaan rasuah ditemui mati tergantung dalam bilik penjara malam tadi.
Mangsa, Wael Shalaby yang merupakan Timbalan Ketua Hakim Sistem Mahkamah Pentadbiran dipercayai telah bertindak membunuh diri kerana tertekan ketika proses soal siasat sejurus selepas penahanan beliau Sabtu lepas.
Menurut peguamnya, Sayed Beheiry, Wael bertindak menggantung dirinya dengan menggunakan skaf yang dipakainya apabila selesai sesi soal jawab.
“Amat sukar untuk menjadi seorang hakim penting dalam kerajaan dan tiba-tiba, kamu hilang segala-galanya,” kata Sayed.
Agensi berita kerajaan, MENA melaporkan, Wael membunuh diri dan pendakwa raya sudah mengarahkan bedah siasat dijalankan.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri yang mengendalikan penjara gagal dihubungi untuk memberi kenyataan berhubung kejadian itu. - Reuters