KUALA LUMPUR 17 Jan. – Penajaan pasukan The Red Warriors (TRW) oleh Pelaburan Mara Berhad dibuat atas dasar komersial untuk penjenamaan, pemasaran serta meningkatkan keuntungan syarikat.
Menurut kenyataan Pelaburan Mara Berhad, keputusan penajaan itu dibuat secara pentadbiran amalan biasa berdasarkan belanjawan tahunan yang diperuntukkan untuk kegiatan pengiklanan dan pemasaran yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah.
“Adalah menjadi dasar Pelaburan Mara Berhad khususnya PMB Investment untuk meningkatkan jenama syarikat memandangkan kumpulan telah melalui penjenamaan semula pada 2014.
“Ini sejajar dengan arahan Lembaga Pengarah yang mahukan syarikat meningkatkan pendedahan terhadap jenama syarikat untuk mengukuhkan jenama agar mampu bersaing dalam industri,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Sebelum ini Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa seorang Tan Sri yang tidak dinamakan telah memaksa Mara dan entitinya menaja TRW yang berjumlah RM700,000.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Dalam pada itu, berhubung isu yang sama, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memaklumkan ia tidak menggunakan sebarang dana Tajaan Pelajaran Pelajar daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membiayai program pemasaran dan penajaan pasukan TRW.
UniKL dalam kenyataan hari ini berkata kesemua program pemasaran dan penajaan tersebut atau berkaitan akan menggunakan perbelanjaan mengurus yang telah diperuntukkan serta diluluskan setiap tahun untuk pengiklanan dan promosi.
Katanya, langkah UniKL menaja dan menjadi rakan strategik pemasaran dengan pasukan Kelantan pada 2013 sebenarnya telah memberi impak yang besar kepada penjenamaan universiti tersebut sehingga berjaya menarik ramai pelajar untuk mengikuti program-program yang ditawarkan.
“Sejumlah peruntukan disediakan setiap tahun untuk melaksanakan pelbagai aktiviti promosi serta pemasaran dan tidak tertumpu kepada media cetak atau elektronik semata-mata tetapi turut meliputi pelbagai kaedah lain termasuk dalam bidang sukan,” katanya.
sumber : utusan