FAM
Menurut Afandi, syarat utama yang membolehkan seseorang itu bertanding Presiden FAM adalah warganegara Malaysia dan mendapat pencalonan sebelum me­syuarat pemilihan diadakan pada 25 Mac ini.

“Dalam perlembagaan FAM tidak ada tertulis mengatakan Jemaah Menteri tidak boleh memegang jawatan sebaliknya syarat yang dikenakan adalah individu yang berminat menjadi presiden mestilah warganegara Malaysia. Itu sahaja.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti peraturan Kabinet jika ada Jemaah Menteri yang mahu menjadi Presiden FAM, namun bagi kami, tiada sebarang hala­ngan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman pernah menyandang jawatan Presiden FAM pada 1958 hingga 1974 sebelum diambil alih oleh bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang menduduki kerusi No. 1 itu pada 1975 hingga 1976.

Kemudian, bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tan Sri Hamzah Abu Samah pula memegang jawatan Presiden FAM selama tujuh tahun bermula pada 1975.

Berdasarkan sejarah Presiden FAM itu jelas membuktikan bahawa badan induk tersebut tidak mempunyai sebarang masalah untuk diterajui oleh mana-mana anggota Kabinet Persekutuan.

Selain itu juga, ketika ini, Persatuan Bola Sepak Rusia dipimpin oleh Vitaly Mutko yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri negara itu.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan sekiranya ada menteri berhasrat memegang jawatan Presiden FAM mereka perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri atau Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Namun, Khairy tidak menyatakan pendiriannya sama ada mahu bertanding atau tidak dalam Kongres Pemilihan FAM ke-53 yang akan diadakan pada 25 Mac ini.

Dalam ruangan pojok Mingguan Malaysia, Awang Selamat kelmarin berkata, banyak pilihan lebih baik daripada Tan Sri Annuar Musa dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengisi jawatan Presiden FAM dan antaranya adalah Khairy.

SUMBER : UTUSAN