RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Selasa, 3 Januari 2017
Kerajaan negeri sanggup mengambil alih KAFA
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sanggup mengambil alih pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melalui syarikat atau pihak tertentu yang dilantik.
Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata perkara itu dinyatakan kepada KAFA selepas pertemuan diadakan antara persatuan itu dengan kerajaan negeri hari ini.
Berikutan perkembangan itu, katanya, KAFA terpaksa memberi garis panduan dan tarikh akhir untuk membolehkan KAFA menyelesaikan elemen teknikal dengan pihak FAM.
"Pendaftaran pemain mesti dibuat sebelum 6 Januari ini untuk membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pertama pada 21 Januari ini menentang Melaka United di Kota Bharu.
"KAFA juga akan menandatangani kontrak dengan tiga lagi pemain import dan pemain tempatan mengikut selera ketua jurulatih yang mesti ditandatangani KAFA.
"Kaedah penswastaan ini juga harus diingat tidak terlepas dengan peraturan FIFA dan FAM. Perjanjian antara KAFA dengan pihak terbabit mesti dimeterai, yang jelas menjurus kepada memastikan kejayaan pasukan dan pembangunan bola sepak Kelantan.
"KAFA masih bertanggungjawab secara mutlak sebagai pihak berkuasa dalam bola sepak Kelantan. Ia tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya.
Inilah yang mendorong saya menyatakan bahawa keputusan secara muktamad dan terperinci yang disebut oleh Datuk Abd Fatah Mahmood (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri) semalam, perlu disegerakan.
"Bagi tujuan ini, KAFA memerlukan terma perjanjian dimuktamadkan sebelum jam 10 pagi, pada 5 Januari ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, hasil keputusan pertemuan semalam, Ismail berkata, permohonan KAFA untuk menghapuskan hutang levi stadium tahun lalu dan tahun ini tidak diluluskan manakala permohonan geran bantuan RM3 juta juga tidak mendapat reaksi positif daripada kerajaan negeri.
KAFA juga minta pihak yang berminat menjadi penaja tampil membantu dan Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) perlu mengumumkan jumlah kutipan tabung dana sebelum 5 Januari ini, yang akan menjadi asas sama ada KAFA meneruskan cabaran atau menarik diri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.