Antoine Griezmann dikatakan sudah bersetuju untuk meninggalkan Liga Sepanyol dan menyertai Manchester United.
LONDON 18 Jan. – Antoine Griezmann sudah memiliki nombor jersi bersama Manchester United selepas namanya dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu, lapor akhbar Independent.
Bintang penyerang Perancis tersebut dilaporkan telah mengadakan rundingan dengan United sejak beberapa bulan lalu dan sedang meneliti beberapa perkara yang berkemungkinan besar menyaksikan Red Devils berbelanja sekitar 100 juta euro (RM475.19 juta).
United menyuarakan keyakinan akan dapat memikat pemain berusia 25 tahun itu meskipun perjanjian hanya boleh dilakukan bergantung kepada keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan sama ada Atletico Madrid akan dikenakan hukuman penggantungan jual beli pada musim panas ini.
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, Griezmann dilaporkan bersetuju dengan gaji yang bakal diberikan selain berkemungkinan besar menyarung jersi ikonik No. 7 seperti yang disarungnya bersama Perancis dan Atletico.
Memphis Depay yang kini menggunakan No. 7 bersama United sedang dalam proses untuk meninggalkan Old Trafford.
Pemain sayap Belanda itu gagal memenuhi keperluan Jose Mourinho dan sering tersisih daripada kesebelasan utama pasukan. Kali terakhir dia beraksi bersama United adalah dalam perlawanan Liga Europa November lalu.
Depay bagaimanapun berjaya menarik minat Lyon dan sedang menuju ke kelab tersebut dengan nilai perpindahan £16m+8m – AGENSI
SUMBER UTUSAN
SUMBER UTUSAN