Itu keputusan yang diambil Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam Kongres Luar Biasa badan itu hari ini andai mereka gagal memperoleh dana mencukupi pada 6 Januari, iaitu tarikh akhir pendaftaran pemain.

Itu bermakna, jika ada pihak yang serius mahu menyelamatkan The Red Warriors (TRW) mereka hanya mempunyai tempoh lapan hari untuk bertindak atau semuanya sudah terlambat.

Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, ahli gabungan badan induk itu sebulat suara bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan untuk menarik diri kecuali mereka berjaya mengumpul sekurang-kurangnya RM3 juta, selain mendapat jaminan penaja pada 6 Januari.

"Jika kita dapat tajaan dan jaminan penaja lain maka kita akan terus bermain tetapi sehingga hari ini Kafa tidak ada dana sebanyak itu dan kita mohon penaja supaya tampil secepat mungkin sebelum 6 Januari,” kata Afandi dalam sidang akhbar hari ini.

Kafa memerlukan RM15 juta untuk membolehkan TRW kekal dalam Liga M dan sehingga kini belum ada perjanjian dimuktamadkan biarpun beberapa pihak menyatakan minat menaja.

Sementara itu, RedONE dan OAR Teguh Sdn. Bhd. mengulangi hasrat untuk menaja Kafa dan akan cuba memuktamadkan perjanjian sebelum 6 Januari.

Ketua Pegawai Pemasaran Red One, Ben Teh berkata, wakil syarikat telekomunikasi itu akan mengadakan perbincangan rasmi dengan Kafa, Selasa ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan OAR Teguh Sdn. Bhd., Omar Ali pula berkata, beliau akan mengatur pertemuan dengan Kafa sebaik sahaja pulang dari menunaikan umrah, 1 Januari ini.

Kata Omar, Kafa tidak perlu bimbang kerana pihaknya telah menyediakan peruntukan untuk tajaan.

Sebelum ini, syarikat pengeluar produk minuman terkemuka, SuperBest Power Health Food and Beverages turut menyatakan hasrat menjadi penaja utama Kafa selepas Vida Beauty menarik diri daripada menaja TRW.

Dalam perkembangan lain, Kafa hari ini secara rasminya mencalonkan Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).