KOTA BHARU - Seorang lelaki maut dipercayai dihanyutkan ombak di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.15 petang mangsa Jaafar Ismail, 59, dikatakan sedang melakukan terapi kaki ekoran penyakit kencing manis di kawasan terbabit.

Namun, ombak yang kuat dipercayai menarik mangsa hingga ke tengah laut. Mangsa dikatakan sering datang ke kawasan itu bersama isteri dan anak perempuannya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Ismadi Mohd Taib berkata pihaknya sampai di kawasan pada jam 4.39 petang.

"Ketika kami sampai mangsa sudah berada di persisir pantai dan diangkat pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan bantuan orang ramai.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,"katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu mengesahkan menerima laporan kejadian.

"Beliau turut menasihatkan supaya orang ramai tidak mandi dan melakukan aktiviti di pantai ketika musim tengkujuh dan ombak besar," katanya.